top of page

Jejak Usahawan SKM: Premium tart nyonya klasik air tangan Feeza Harun

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 minutes ago
  • 4 min read
Usahawan kuih muih dijejaki dalam program Sekretariat KASEH MADANI Wanita KEADILAN
Usahawan kuih muih dijejaki dalam program Sekretariat KASEH MADANI Wanita KEADILAN

Oleh: Noraini Nordin


Jejak Usahawan Bersama Sekretariat KASEH MADANI: Tart nenas paling sedap lazimnya menghasilkan tekstur gebu, cair di mulut, tidak terlalu manis dan inti jem nenas mestilah menyerlahkan rasa buah jenis tropika (daripada keluarga Bromeliaceae), bukan manis dek gula.


Penghasilan jem nenas yang seimbang rasa `masam manisnya’ menjadikan biskut tersebut enak dimakan dan hidangan popular terutama pada musim-musim perayaan khasnya Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Tahun Baharu Cina.


Bukan mudah mencari usahawan yang `pakar’ menghasilkan tart nenas yang menepati citarasa semua golongan dan peringkat umur terutama warga emas yang pasti mengidamkan biskut yang bertekstur rangup, gebu, lemak, kuning emas serta berbau harum dan jemnya tidak terlalu manis.


Kebanyakan tart nenas yang dijual di pasaran `berwajah kuning pucat’ dan tidak membangkitkan aura asli biskut tersebut bagi menawan pelanggan apatah yang menepati selera mereka.


Berseni, membangkitkan selera

Slot Khas Jejak Usahawan Bersama Sekteriat KASEH MADANI (SKM) kali ini menampilkan usahawan gigih iaitu Feeza Harun yang telah lebih empat tahun menghasilkan Premium Tart Nyonya yang enak variasi klasik serta menjadi rebutan pelanggan.


Premium Tart Nyonya bukan tart nenas `biasa-biasa’. Feeza menghasilkan biskut tersebut secara `homemade’ di rumahnya di Ampangan, Negeri Sembilan. Adunan bahan-bahan terpilih menjadi doh tart `air tangan’ Feeza Harun memang tidak menghampakan.

Kuih tart berwarna kuning keemasan
Kuih tart berwarna kuning keemasan

Sejak `berkenalan’ dengan Premium Tart Nyonya yang diasaskan oleh Feeza, penulis adalah antara pelanggan yang kerap mengulang tempahan biskut ini untuk dinikmati sendiri dan juga dijadikan buah tangan untuk program kunjung kasih bersama komuniti di merata negeri.


"Feeza tidak simpan stok banyak. Kerap kehabisan. Jika pelanggan yang mahu membuat tempahan perlu menghubungi Feeza beberapa hari awal. Untuk Kak NN saya bakar malam nanti ya," begitulah selalunya komunikasi penulis dengan wanita peramah ini setiap kali mahu menempah Premium Tart Nyonya yang diusahakan bersama anak perempuannya sebagai sumber pendapatan sampingan.


Premium Tart Nyonya `air tangan’ Feeza menjadi rebutan pelanggan kerana `hasil karya’ beliau bukan sahaja enak dinikmati tetapi juga dibentuk dengan gaya menggoda, asli serta berseni.


Tart yang sering dirujuk sebagai jenis kuih raya di Malaysia itu dibentuk dengan comel gebu, warna kuning keemasan terserlah dan kaya dengan jem nenas.


Bukan sahaja rupa paras tart tersebut mempersonakan tetapi juga aroma biskut itu juga turut membangkitkan selera untuk dikecapi bersama kopi atau teh panas.


"Kunci utama untuk menghasilkan tart adalah penggunaan bahan-bahan yang berkualiti tinggi.


"Contohnya seperti mentega, minyak, tepung jagung, kastard serta telur perlu dititikberatkan. Tidak boleh menggunakan sebarangan atau berkualiti rendah kerana boleh menjejaskan rasa tart tersebut," ujar Feeza dengan ikhlas untuk berkongsi rahsia keenakan Premium Tart Nyonya yang diusahakan secara tradisional.

Penulis puas hati dengan kuih tart premium
Penulis puas hati dengan kuih tart premium

Bagi Feeza beliau memilih untuk menjalankan bisnes tart nenas kerana pencinta biskut tersebut tetap menjadikan ia pilihan paling popular walaupun terdapat pelbagai jenis biskut moden di pasaran.


"Ramadan ini saya `tidak menang tangan’ . Tempahan Premium Tart Nenas meningkat berkali ganda daripada pelanggan tetap dan juga tempahan luar.


"Ada juga yang minta untuk dijadikan hamper atau gift jamuan dan sebagainya. Alhmamdulilah. Walaupun tempahan banyak kualiti tart tetap dijaga. Saya mahu pelanggan puas hati dan nama baik Premium Tart Nyonya menjadi sebutan serta relevan tanpa mengira musim," jelas Feeza dengan mesra.

Menurut Feeza, pelbagai cara untuk wanita meningkatkan pendapatan dan jangan persiakan ilmu atau pengalaman yang dimiliki.


"Masa yang terluang boleh digunakan untuk berbisnes bagi meningkatkan pendapatan keluarga.


"Yang penting wanita yang mahu memajukan diri mesti memperluaskan pergaulan dengan kawan-kawan yang sentiasa positif, berdikari serta gigih berusaha demi meraih kejayaan.


"Kerajaan MADANI juga telah menyediakan pelbagai bantuan untuk usahawan melebarkan sayap bisnes agar terus cemerlang. Yang penting sentiasa rajin berusaha serta sabar untuk terus maju," ujar Feeza yang sentiasa aktif dengan kegiatan kebajikan membantu komuniti setempat serta di luar Negeri Sembilan.


Selain menghasilkan Premium Tart Nyonya, Feeza juga menghasilkan kudapan popia simpul berintikan serunding ikan yang rangup dan enak.


"Popia simpul ini juga sentiasa laris tanpa mengira musim. Kudapan yang menjadi kegemaran memang mudah untuk dijual. Asalkan rajin mempromosikan dengan pelbagai cara termasuk menggunakan laman media sosial," ujar Feeza dengan senyuman mesra.

Bantuan Kerajaan Madani untuk usahawan biskut


Dalam slot ini penulis kongsikan antara bantuan daripada Kerajaan MADANI yang terajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyuntik semangat keusahawan kalangan individu yang menghasilkan produk biskut sebagai rujukan:


Bantuan Kerajaan MADANI kepada usahawan biskut, khususnya di bawah agensi seperti MADA, merangkumi program Souq MADANI untuk memasarkan produk kuih atau biskut raya serta penyediaan platform tingkatkan pendapatan.


Bantuan peralatan seperti tray atau dulang bertingkat turut diberikan untuk menyokong operasi usahawan tersebut.


Selain itu, terdapat skim bantuan peranti digital dan khemah untuk peniaga bazar.


Program Souq MADANI (MADA):


Kerajaan menyediakan platform khusus bagi usahawan biskut raya untuk mempromosikan dan menjual produk mereka.


  • Bantuan Peralatan Fizikal: Bantuan langsung berupa peralatan seperti tray atau dulang bertingkat diberikan kepada usahawan biskut untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran.

  • Sokongan Pemasaran BAZAR: Bantuan khemah dan peranti digital disediakan bagi usahawan yang berniaga di bazar Ramadan/Aidilfitri.

  • Skim Barakat (RM50 Juta): Peruntukan khas untuk menyokong usahawan mikro.


Usahawan digalakkan merujuk kepada pejabat MADA atau agensi kementerian berkaitan untuk permohonan bantuan fizikal dan pemasaran.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page