
Dua tawaran utama diuar uar oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ir Ts Nazri Abdul Rahman sepanjang berkempen di DUN berkenaan.
Beliau bertekad untuk mengatasi masalah banjir kilat dan pendidikan kemahiran kepada anak muda sebagai keutamaannya andai dipilih menjadi wakil rakyat pada 9 September ini.
Jelasnya yang juga doktor falsafah (PhD) dalam bidang hidrologi berkata, isu tersebut akan diberi penekanan memandangkan ia membelenggu warga DUN berkenaan.
"Isu banjir kilat banyak berlaku di sekitar Simpang Jeram, jadi dengan memperbaiki sistem saliran parit ia mampu mengelakkan kejadian sebegitu tidak berlaku lagi.
"InshAllah saya akan cuba selesaikan sepenuhnya," kata beliau ketika ditemui Suara Keadilan.
Selain itu, sebagai anak jati Simpang Jeram, Nazri berhasrat untuk memperkasakan pendidikan kemahiran melalui Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan belia di kawasan tersebut.
Jelasnya, tekad itu akan dilaksanakan memandangkan daerah Muar terkenal sebagai pengeluar perabot terbesar Malaysia.
"Perlu untuk kita tahu ada belia yang cenderung kepada bidang berkemahiran, jadi golongan ini digalakkan mengambil TVET.
"Oleh kerana Muar merupakan pengeluar perabot terbesar negara, pengilang besar pada ketika ini amat memerlukan tenaga tempatan dalam pembuatan perabot.
"Justeru, galakan golongan belia menyertai sijil berkemahiran perlu dibuat agar mereka dapat ditempatkan dalam industri ini," ujarnya lagi.
Pada 9 September ini, seramai 40,379 pengundi membuang undi bagi memilih wakil rakyat bagi kerusi berkenaan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Dalam pada itu, Nazri yang juga Timbalan Amanah Bakri akan berdepan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas, S Jeganathan.
Comments