top of page

Dua tahun Kementerian Digital: Pacu pendigitalan ke arah Negara AI 2030

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 36 minutes ago
  • 2 min read

Menteri Digital, Gobind Singh mengiktiraf sumbangan wartawan pada Malam Aspriasi Media, semalam
Menteri Digital, Gobind Singh mengiktiraf sumbangan wartawan pada Malam Aspriasi Media, semalam

Kementerian Digital (KD) terus mencatat kemajuan signifikan dalam tempoh dua tahun penubuhannya dengan memacu agenda pendigitalan negara secara inklusif, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang tahun 2030.


Menurut kenyataan Kementerian Digital, pelbagai inisiatif strategik telah digerakkan bagi memperkukuh daya saing digital negara serta memastikan manfaat pendigitalan dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.


"Melalui inisiatif berfokuskan pendigitalan inklusif, Kementerian Digital terus bergerak ke hadapan bagi memperkukuh daya saing digital dan memastikan rakyat di semua lapisan masyarakat menikmati manfaat pendigitalan, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030," kata kenyataan itu.


Pada tahun pertama penubuhannya, KD memberi penekanan kepada penstrukturan semula tadbir urus digital dan penggubalan dasar strategik yang kini menjadi asas kepada pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada tahun 2025.


Antara pencapaian utama kementerian termasuk pemantapan agensi di bawah KD, penyelarasan fungsi digital negara, penyediaan dokumen strategik peringkat nasional, penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (National AI Office – NAIO), pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi serta sokongan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dalam pembentangan Akta Keselamatan Siber 2024.


Berikutan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, KD turut memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju dasar digital serantau melalui pelbagai mesyuarat strategik peringkat tinggi.


"Kementerian Digital memainkan peranan sentral dalam menentukan dasar digital ASEAN melalui platform seperti Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) dan Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM)," jelas kenyataan itu.


Di peringkat domestik, KD menumpukan kepada pengukuhan ekosistem digital negara menerusi tiga tonggak utama iaitu Kerajaan Digital (GovTech), Ekonomi Digital dan Masyarakat Digital.


Bagi Kerajaan Digital, antara inisiatif utama ialah penubuhan Unit GovTech Malaysia, pewartaan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864) serta pemerkasaan Aplikasi MyGOV Malaysia dan Portal MyGovernment.


Dalam aspek Ekonomi Digital pula, KD melancarkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP), menyediakan geran penggunaan 5G untuk industri serta memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Republik Rakyat China dan Republik Kyrgyz bagi menarik pelaburan dan pemindahan teknologi.


Sementara itu, tonggak Masyarakat Digital memberi tumpuan kepada inklusiviti dan pembangunan bakat melalui Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2025, Program Executive Digital Leadership Programme (EDLP), inisiatif Rakyat Digital serta pelancaran Modul Etika Siber Nasional (ESN).


"Kementerian Digital kini memberikan fokus penuh kepada penyediaan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) beserta penjajaran dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030: Menuju Negara AI," kata kenyataan itu.


Selain itu, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 turut sedang dibangunkan bagi memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia dari sudut infrastruktur dan bakat AI, malah memiliki kerangka tadbir urus yang kukuh.


"Fokus keutamaan adalah untuk memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia dari sudut infrastruktur dan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) tetapi juga memiliki kerangka tadbir urus yang utuh untuk menjadi Negara AI 2030 yang berdaya

saing di peringkat global," kata Kementerian Digital lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page