Dua nama MP PN tandatangan SD dengan PH didedah di Parlimen
- Omar Zin
- Jul 23, 2020
- 1 min read

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mendedahkan dua nama ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) turut menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai tanda menyokong Pakatan Harapan (PH) selepas berlaku Langkah Sheraton.
Dalam perbahasan titah diraja di Parlimen, Amin menamakan Ahli Parlimen Serian, Richard Riot Jaem dan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang.
"Saya masih ingat Yang Berhormat Serian dan Lubok Antu bersama kami. Saya masih simpan gambar Serian menandatangani kenyataan bersumpah menyokong kami. Saya pun ada gambar Lubok Antu.
"Jadi kalau kita mengambil undian kepada Yang Di-pertuan Agong iaitu 111-109, kita curiga benarkah kerajaan semasa ini mempunyai majoriti semasa peralihan kuasa berlaku," katanya di Dewan Rakyat.
Amin juga menganggap PN gagal mendapatkan lebih ramai sokongan dan bertindak menyalahkan PH.
"Ada yang menafikan terlibat dengan kenyataaan bersumpah untuk membolehkan proses peralihan kuasa berlaku tetapi ia tak berlaku seperti dirancang.
"Jadi mereka cari kambing hitam untuk dipersalahkan, perkara ini tak mungkin berlaku jika tidak disambut oleh parti-parti yang kalah," katanya.
Pada masa sama, Amin berpandangan PN turut gagal menjadi sebuah kerajaan yang berwibawa.
"Perkara pertama mereka buat adalah mengelak tanggungjawab dan mereka kata tidak terikat dengan sebarang manifesto dan jelas tidak ada agenda bersama.
"Malah, wujud percanggahan ketara antara mereka. Sekarang ada ura-ura pilihan raya umum, ini menunjukkan satu lagi sikap tidak bertanggungjawab.
"Mereka hanya nak kuasa tapi tak tahu nak buat apa dengan kuasa yang dipegang," katanya.
Comments