Dua lagi kawasan hijau Kuala Lumpur diwartakan Hutan Simpan Kekal
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Dua lagi kawasan hijau di ibu negara bakal mendapat status perlindungan apabila kerajaan sedang dalam usaha mewartakan Bukit Dinding, Wangsa Maju dan Pulai Trail, Bangsar sebagai hutan simpan kekal baharu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar), berkata permohonan pewartaan Bukit Dinding seluas 20.57 hektar telah dipertimbangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah pada Mac lalu.
"Bagi Pulai Trail pula, kawasan seluas lima hektar telah dikemukakan pada Mei lalu dan kini sedang dalam penilaian Pejabat Tanah dan Galian Perhutanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL)," katanya Ketika menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Dr Zaliha, langkah ini adalah kesinambungan kepada pewartaan terakhir Hutan Simpan Sungai Besi seluas 42 hektar pada 2021.
Kuala Lumpur kini memiliki beberapa kawasan hutan simpan termasuk Hutan Simpan Bukit Nanas/KL Forest Eco Park (9.37 hektar, diwartakan sejak 1906) dan sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Kiara (74.6 hektar diwartakan pada 2012) yang masih berfungsi sebagai “paru-paru hijau” utama untuk warga kota.
Zaliha menegaskan pewartaan kawasan baharu itu penting untuk menambah liputan hijau bandar raya selain memastikan keseimbangan pembangunan fizikal dengan keupayaan alam sekitar menampung kepadatan penduduk.
Kepada soalan asal Young Syefura mengenai cadangan moratorium projek kediaman di ibu negara, Zaliha menjelaskan, perkara itu mempunyai implikasi besar termasuk penurunan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kuala Lumpur yang banyak bergantung pada sektor pembinaan dan hartanah.
"Ia juga akan menjejaskan kutipan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur daripada fi pembangunan, selain meningkatkan harga hartanah dan kadar sewa yang boleh mendorong perpindahan keluar penduduk khususnya golongan B40 dan M40," katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui terdapat keperluan menilai semula keseimbangan pembangunan dan daya tampung bandar, terutamanya dari segi kapasiti infrastruktur, perumahan mampu milik, kemampuan alam sekitar serta kualiti hidup rakyat.
Cadangan moratorium itu dibangkitkan susulan laporan Jabatan Perangkaan yang mengunjurkan Kuala Lumpur mencapai tahap kemuncak populasi pada 2031 iaitu 28 tahun lebih awal berbanding unjuran nasional.