Draf RT Sepang dilancarkan, MB galak penduduk beri pandangan
- Suara Keadilan

- Jul 4
- 2 min read

Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Sepang, Selangor 2035 (Penggantian).
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin.
Amirudin dalam ucapannya berkata, draf rancangan itu merupakan sebahagian daripada projek pembangunan yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan tempoh pelaksanaan selama 12 bulan bermula April 2024 hingga April 2025.
Ia selaras usaha mengangkat Selangor dan Sepang sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat terkemuka Asia Tenggara melalui kerjasama strategik Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi menggiatkan semula KLIA Aeropolis.
"Draf RT Sepang 2035 (Penggantian) menetapkan lima Projek Pemacu dan tujuh Tema Perancangan sebagai panduan pembangunan daerah, disokong projek strategik seperti Selangor Business Capital, CyberValley, Selangor Aeropark dan Sepang Goldcoast bagi melengkapkan aspirasi Konurbasi Selangor.
"Program itu bukan sekadar pameran statik semata-mata, tetapi ia membuka peluang kepada orang awam, wakil komuniti dan agensi berkepentingan untuk menyuarakan pandangan, bantahan atau rayuan secara rasmi seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)," katanya dipetik.
Program itu menggunakan dua kaedah utama iaitu pameran tetap di pejabat kerajaan dan pameran bergerak di pusat membeli-belah terpilih sekitar Daerah Sepang seperti D’Pulze Shopping Centre, IOI City Mall, KIP Mall Kota Warisan, Mitsui Outlet Park dan Pusat Informasi Bagan Lalang.
Pameran tetap pula boleh dikunjungi di beberapa lokasi termasuk Kompleks Majlis Perbandaran Sepang, Pejabat PLANMalaysia Zon Tengah, Pejabat PLANMalaysia Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah Sepang.
"Saya menyeru semua warga Sepang agar mengambil peluang ini untuk meneliti dan memberikan pandangan. Usaha ini adalah untuk manfaat bersama demi memastikan pembangunan daerah lebih terarah dan inklusif," tambah Amirudin.









Comments