Dr Zulkifli rai ulama Jordan, lancar kumpulan penyelidikan hadis USIM
- Suara Keadilan

- Oct 23, 2025
- 2 min read

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, merasmikan Syarahan Perdana Pengajian Hadis dalam Pengurusan Maklumat yang disampaikan oleh ulama tersohor dari Jordan, Syeikh Dr Hammam Abdurraheem Said Melhem, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru baru ini.
Dalam majlis tersebut, Dr Zulkifli turut melancarkan Kumpulan Penyelidikan Markaz al-Bahth li al-Hadith al-Nabawi (MARBAWI) — inisiatif terbaharu USIM dalam memperkukuh penyelidikan ilmiah dan pengajian hadis di peringkat universiti.
"Saya diberi penghormatan untuk merasmikan Syarahan Perdana Pengajian Hadis dalam Pengurusan Maklumat oleh Syeikh Dr. Hammam. Saya juga melancarkan Kumpulan Penyelidikan Markaz al-Bahth li al-Hadith al-Nabawi (MARBAWI), inisiatif terkini USIM. Tahniah USIM," katanya dalam kenyataan.
Menurut Dr Zulkifli, kehadiran Syeikh Dr Hammam membawa nilai besar kepada dunia keilmuan Islam di Malaysia, khususnya dalam memperluas kefahaman terhadap hadis Nabi SAW dari perspektif kontemporari.
Beliau turut berkongsi perbualannya dengan Syeikh Dr Hammam sebelum majlis bermula mengenai topik hadis Makkiah dan hadis Madaniyah, satu bidang perbincangan yang jarang diketengahkan.
"Saya bertanya pandangan Syeikh mengenai maudhu’ perbincangan hadis Makkiah dan hadis Madaniyah. Umumnya ramai yang mengetahui ayat Makkiah dan ayat Madaniyah tetapi tidak ramai yang didedahkan dengan perbincangan hadis Makkiah dan hadis Madaniyah," ujarnya.
Katanya, Syeikh Dr Hammam menjelaskan dengan penuh hikmah, sambil memberikan contoh dalam kes memahami kewajipan hijab atau menutup aurat bagi Muslimah, bagaimana pemahaman hadis Makkiah dan Madaniyah membantu menjelaskan kewajipan hijab tersebut.
Dr Zulkifli turut memuji sambutan luar biasa terhadap program berkenaan yang disertai ramai pelajar dan warga kampus hingga ada terpaksa duduk di atas tangga dan duduk bersila.
Justeru, beliau berpesan agar masyarakat jangan jemu menuntut ilmu dan terus memperkukuh tradisi keilmuan Islam.









Comments