Dr Zulkifli puji Jep Sepahtu bayar zakat RM1.9 juta dalam 10 tahun


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar) menyifatkan pelawak dan pelakon, Jep Sepahtu atau Mohd Nadzri Zainal Abidin sebagai inspirasi kepada golongan asnaf susulan perkongsian rekod pembayaran zakatnya berjumlah kira-kira RM1.935 juta bagi tempoh 2016 hingga 2025.
Beliau berkata, tindakan Jep berkongsi rekod pembayaran zakat itu wajar dihargai kerana mencerminkan ketelusan dan usaha mempertahankan integriti daripada dakwaan yang tidak berasas.
"Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat Sdra. Jep Sepahtu yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Zulkifli, masyarakat perlu mengambil sudut positif daripada tindakan itu serta mendoakan perkara yang baik-baik untuk semua pihak.
Katanya, pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti Jep juga wajar dijadikan teladan kepada masyarakat dalam melaksanakan kewajipan agama.
"Langkah beliau berkongsi rekod pembayaran zakat dari tahun 2016 hingga 2025 yang mencecah kira-kira RM1.935 juta merupakan satu tindakan berani demi menegakkan ketelusan, mempertahankan integriti, dan menangkis fitnah, sekali gus membuktikan pelaksanaannya secara telus berlandaskan kewajipan agama," katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa zakat bukan sekadar kewajipan agama untuk menyucikan harta, malah berperanan penting dalam membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, pembayaran zakat dapat memperkukuh ekonomi ummah, membela nasib golongan asnaf serta merapatkan hubungan persaudaraan dalam masyarakat.
"Zakat bukan sahaja menyucikan harta, malah menjadi benteng ekonomi serta penyambung hayat buat golongan yang memerlukan," katanya.
Sehubungan itu, Zulkifli mengajak umat Islam mencontohi amalan berkenaan dengan menunaikan kewajipan zakat mengikut ketetapan agama.
"Ayuh kita contohi teladan mulia ini dan tunaikan kewajipan harta, jom bayar zakat," katanya.




Comments