top of page

Kem STEM MOSTI 2026 tarik penyertaan 300 pelajar SMK Sg Isap Murni

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
59 minutes ago
2 min read
Fakhrul Anuar (kiri sekali) memerhatikan para pelajar didedahan dengan teknologi robotik
Fakhrul Anuar (kiri sekali) memerhatikan para pelajar didedahan dengan teknologi robotik

Seramai 300 orang pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Isap Murni, Kuantan telah menyertai Program STEM Camp MOSTI 2026 yang berlangsung selama dua hari di sekolah tersebut baru-baru ini.


Program ini merupakan kerjasama strategik pihak sekolah dengan Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Pembuatan dan Mekatronik, Universiti Malaysia Pahang Sultan Ahmad Shah (UMPSA).


Program ini bertujuan merangsang minat para pelajar terhadap subjek Matematik dan Sains yang merupakan dua subjek teras aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) ketika membuat pilihan untuk menyambung pengajian dalam aliran Sains di peringkat menengah atas iaitu Tingkatan Empat dan Lima kelak. Menerusi lapan jenis modul aktiviti STEM yang diperkenalkan, pelajar dapat mengaplikasikan ilmu matematik dan sains dalam kehidupan seharian.


Menurut Pengarah Program, Fakhrul Anuar Zulkawi, penganjuran program STEM Camp MOSTI ini masuk tahun keempat dijayakan di sekolah-sekolah dalam Parlimen Kuantan sejak diperkenalkan pada tahun 2023.


Fakhrul Anuar (dua dari kanan) bersama para guru
Fakhrul Anuar (dua dari kanan) bersama para guru

"SMK Sungai Isap Murni (SeMURNI) yang berada dalam DUN Tanjung Lumpur dipilih kerana mempunyai bilangan pelajar dari keluarga B40 yang ramai. Pendedahan awal ini penting agar lebih ramai anak-anak penduduk Sungai Isap menguasai bidang sains dan berjaya memasuki bidang sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi kelak," katanya.


Beliau yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Ahli Jawatankuasa Bandaraya Pintar menambah, keperluan melahirkan lebih ramai saintis dan teknologis dalam kalangan anak tempatan amat diperlukan bagi mengisi hasrat dan aspirasi MBK menjadikan Bandaraya Kuantan sebagai bandaraya pintar bertaraf penuh menjelang tahun 2030.


Sementara itu, Pengetua SeMURNI, Fatimah Muda berharap agar para pelajar sekolah ini akan kembali mengikuti aliran Sains termasuk Sains Tulin ketika memasuki aliran menengah atas, bagi mengisi hasrat Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi pada masa hadapan.


Ketua Koordinator STEM UMPSA, Dr Asrul Adam pula percaya jika minat terhadap sains dan matematik dibina sejak di peringkat menengah rendah, para pelajar akan mampu menguasai bidang tersebut dengan lebih seronok dan meyakinkan.


"Usaha berterusan yang digerakkan bersama secara konsisten mampu menghasilkan impak yang berkesan kepada diri para pelajar," ujarnya.


Program selama dua hari itu melibatkan lapan jenis modul interaktif iaitu Modul Pelancar Roket, Bolasepak Robotik, Sumo Robotic, 3-D Printing, Pembinaan Jambatan, Kereta Lumba, Kecerdasan Buatan (AI) dan Shock Absorber.


Para pelajar dipecahkan kepada 50 kumpulan dan berpeluang mengikuti semua modul secara rotasi, sekali gus memberi pendedahan menyeluruh tentang aplikasi STEM dalam dunia sebenar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page