
KEADILAN mengecam usaha Muda meletakkan calon di DUN Larkin yang merupakan kerusi boleh menang parti itu dalam Pilihan Raya Negeri Johor kali ini.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, calon KEADILAN, Dr Zamil Najwah Arbain merupakan pilihan terbaik untuk ditempatkan di kerusi itu, sama ada dari segi pengalaman mahupun ketrampilannya.
"KEADILAN akan kekal fokus di DUN Larkin. KEADILAN telah mengumumkan Dr Zamil mewakili DUN Larkin pada 14 Februari lalu.
"Kita tahu cabaran yang dihadapi penduduk Johor Bahru adalah berkaitan isu kesihatan. Sebagai seorang doktor yang pernah berkhidmat di Hospital Sultanah Aminah saya percaya Dr Zamil arif permasalahan masyarakat setempat.
"Selain berlatar belakangkan profesional beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuklah pernah terlibat dalam program kebajikan di peringkat antarbangsa. Antara pengalaman beliau ialah pernah menyertai misi ke Gaza, Palestin pada 2013 dan juga misi kemanusianaan ke Beirut, Lubnan pada 2019.
"Jadi dari segi latar belakang beliau, saya rasa amat sesuai dengan penduduk sekitar DUN Larkin," katanya dalam sidang media pagi tadi.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu lagi, tindakan Muda 'melanggar' KEADILAN hanya akan menyebabkan terlalu banyak penjuru dalam merebut kerusi Larkin yang akan menguntungkan Umno BN.
"Tindkaan Muda ini menyebabkan banyak penjuru. Berdasarkan maklum balas di DUN Larkin sekurang kurangnya 6 calon yang akan masuk bertanding, termasuk calon bebas.
"Saya menyeru seluruh jentera KEADILAN Larkin dan kerusi yang ditandingi KEADILAN agar kekal fokus dan terus bekerja keras mendekati rakyat bagi memangkan calon KEADILAN" katanya.
Tambah beliau, isu di Larkin yang juga kerusi kawasan bandar adalah rumit dan memerlukan calon yang benar benar berwibawa untuk mendapat kepercayaan pengundi di kawasan tersebut.
Katanya, keputusan Muda sebaliknya hanya mengesahkan persepsi umum bahawa parti itu belum bersedia memasuki persaingan politik dan masih terlalu gopoh.
"Tindakan muda ini jika tidak berhati hati akan mengesahkan tanggapan banyak pihak yang menyifatkan gaya politik parti itu yang dangkal dan tidak matang.
"Walau kita kena akui Muda mempunyai hak untuk letak calon tetapi AMK tertanya tanya apa motif Muda ingin meletakkan calon di Larkin sedangkan calon kita berpengalaman.
"Keputusan itu bertentangan dengan pendirian awal Muda sebelum ini untuk tidak meletakkan calon di kerusi kerusi yang ditandingi KEADILAN.
"Walaupun berhadapan risiko pecah undi KEADILAN tetap yakin kita akan menawan Larkin yang sebelum ini milik PH dalam PRU lalu," katanya lagi.
Comments