Dr Zaliha galak TOD atasi kesesakan parkir di Kuala Lumpur
- Suara Keadilan

- Nov 14, 2025
- 1 min read

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Garis Panduan Perancangan Tempat Letak Kenderaan (Edisi 2024) bagi menangani masalah kesesakan parkir di kawasan perumahan padat di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, garis panduan itu berkuat kuasa sejak Jun 2024 dengan menetapkan pemaju mesti menyediakan sekurang-kurangnya dua petak parkir bagi setiap unit kediaman baharu mengikut jenis dan harga rumah.
Selain memastikan penduduk mendapat kemudahan asas yang mencukupi, langkah tersebut juga tegasnya antara strategi kerajaan untuk mewujudkan sistem parkir tersusun.
"Beberapa dasar perancangan juga telah digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 bagi menangani isu kesesakan parkir di kawasan perumahan seperti menggalakkan pembangunan konsep transit-oriented develepoment (TOD) yang mengintegrasikan pembangunan berteraskan pengangkutan awam dan mobiliti mesra alam.
"Selain itu, kerajaan juga akan mengenal pasti dan merancang mekanisme baharu perkongsian tempat letak kereta bagi pembangunan perumahan dengan pembangunan perdagangan seperti pejabat,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
"Langkah ini sejajar dengan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang turut menyasarkan penggunaan pengangkutan awam sehingga 70 peratus menjelang 2040," katanya dipetik di Dewan Rakyat.
Beliau sebelumnya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai keberkesanan dasar perancangan bandar bagi menangani isu kesesakan parkir di Kuala Lumpur yang semakin padat.
Sementara itu menurut Dr Zaliha, kementeriannya menggalakkan pembangunan berkonsep Transit-Oriented Development (TOD) di Kuala Lumpur yang mengintegrasikan pengangkutan awam dan mobiliti mesra alam.
Pihaknya juga mengenal pasti mekanisme baharu untuk perkongsian tempat letak kenderaan antara kawasan perumahan dan perdagangan, selain mengoptimumkan ruang di bawah laluan LRT dan lebuh raya sebagai tempat parkir.









Comments