Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kuala Langat kecewa terhadap keputusan Datuk Dr Xavier Jayakumar yang memilih untuk keluar parti namun dalam masa sama, bersyukur kerana parti dibersihkan daripada pemimpin yang tiada prinsip perjuangan.
Ketua AMK Kuala Langat, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman berkata demikian sejurus selepas Dr Xavier mengumumkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional, semalam.
"AMK Kuala Langat menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat memilih keluar dari KEADILAN dan menjadi Ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
"Pada masa yang sama kami juga ingin menzahirkan rasa syukur kerana parti dapat dibersihkan dari mereka yang tiada prinsip perjuangan. Lebih-lebih lagi yang ingin menutup salah laku ketika mereka berkuasa.
"Setelah menghadapi pelbagai siri pengkhianatan, kini kami semakin mengenali kawan dan lawan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Shah Rezza, AMK memilih untuk kekal setia bersama perjuangan reformasi dan kepimpinan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Selaku pimpinan sayap parti di Kuala Langat, kami memilih untuk kekal setia bersama KEADILAN dan tolak perbuatan khianat.
"KEADILAN Kuala Langat masih kukuh dan utuh bagi menterjemah perjuangan reformasi.
“Pemimpin datang dan pergi, pejuang akan terus berjuang”," katanya lagi.
Comments