Dr Wan Azizah ziarah mangsa kebakaran kebocoran paip gas
- Suara Keadilan
- Apr 2
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa menyantuni mangsa insiden kebakaran saluran paip gas bawah tanah yang kini sedang dirawat di hospital.
Kehadiran Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau kemudian dibawa ke wad menempatkan mangsa untuk bertemu dan memberi sokongan moral kepada mereka yang terlibat insiden tersebut.
Berdasarkan laporan media, kebanyakan mangsa mengalami lecur akibat bahang api yang marak yang dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.
Pihak berkuasa dilapor masih menyiasat punca kepada kejadiaan berkenaan.
Sementara itu menurut data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikongsikan kepada media, 28 daripada mangsa menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah; Hospital Cyberjaya (24 orang), Hospital Putrajaya (13 orang) dan Hospital Ampang (dua orang).
Seramai 37 mangsa lain dirawat di lima hospital swasta termasuk 22 di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), lapan orang di Subang Medical Centre, Hospital Avisena (lima orang) dan Hospital Thomson (seorang mangsa).
Baki 41 mangsa pula sudah dibenarkan keluar dari hospital setelah menerima rawatan masing-masing.
Dalam pada itu Dr Wan Azizah menerusi satu muatnaik di laman Facebooknya turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang terlibat membantu mangsa kejadian tersebut.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pasukan penyelamat, doktor, serta petugas perubatan yang telah menangani situasi ini dengan penuh dedikasi.
"Semoga semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan, serta diiringi doa agar segera sembuh dan pulih," katanya dipetik.
Comments