Dr Wan Azizah mahu warisan rawatan kusta dipelihara
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu Pusat Kawalan Kusta Negara (PPKN) diperkasa dengan mengambil kira nilai sejarah dan warisan yang telah dipelihara sepanjang penubuhannya.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia) berkata, usaha menaik taraf dan menambah baik PPKN perlu dilaksanakan kerana mempunyai nilai penting dalam rawatan penyakit kusta di negara ini.
"Tempat ini (PPKN) mempunyai sejarah yang baik dalam rawatan untuk rakyat dan sudah menjadi satu ikon.
"Kita kena jaga dan kalau boleh, warisan ini dipelihara, disantuni dan dijaga dengan sebaik mungkin," katanya dipetik laporan berita.
Dr Wan Azizah ditemui media selepas mengadakan lawatan ke PPKN di Sungai Buloh pada Rabu.
PPKN yang ditubuhkan pada 1926 kini genap 100 tahun dan terus menjadi sebahagian daripada sejarah rawatan penyakit kusta di Malaysia.
Ia merupakan kawasan penempatan pesakit kusta yang paling terancang di dunia pada zamannya dengan kelengkapan sebuah pekan kondusif sekaligus menjadi model kepada pembangunan penempatan pesakit kusta di lain-lain negara di dunia.
Vaksin mencegah sakit kusta juga pertama kali ditemui di PPKN Sungai Buloh.




Comments