Dr Wan Azizah lawat mangsa nahas bas UPSI, beri sokongan moral
- Suara Keadilan
- Jun 14
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan sokongan moral kepada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Isnin lalu.
Pada Jumaat, Dr Wan Azizah hadir ke Hospital Taiping untuk melawat empat mangsa yang masih dirawat. Beliau meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar serta menyampaikan kata-kata semangat.
Terdahulu, ketibaan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu sekitar jam 10.25 disambut isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin dan Pengarah Hospital Taiping, Dr Khuzaini Abd Karim.
Dalam kunjungan itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN turut menyampaikan sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda solidariti dan sokongan moral kepada semua mangsa.
Pada kejadian awal pagi Isnin itu, 15 penuntut UPSI meninggal dunia apabila bas sewa khas yang mereka naiki dari Jertih, Terengganu ke kampus utama di Tanjung Malim, Perak terbabit kemalangan.
Seramai 33 individu turut cedera dalam nahas ngeri itu termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Comments