Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah melancarkan kempen Hygiene Aid bagi membantu remaja perempuan memahami cara terbaik menjaga kesihatan diri semasa tempoh haid.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata kajian menunjukkan masih ramai golongan itu terutama golongan B40 masih belum mendapat akses kepada tuala wanita yang bersih.
"Masalah kurang berkemampuan membuatkan mereka merasakan amalan penjagaan kebersihan ketika datang haid adalah tidak terlalu penting.
"Kita tidak boleh terima ada wanita masih menggunakan alternatif tidak bersih seperti kain dan tisu sebagai tuala wanita setiap bulan," katanya dipetik pada perasmian Kempen Itu di Sekolah Menengah Sains Selangor, Bandar Tun Razak, petang semalam.
Hadir sama, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd dan Pengarah Komersial Vinda Malaysia Yapp Pau Ling.
Susulan kempen itu, seramai 600 pelajar perempuan berusia 13 hingga 24 tahun daripada dua sekolah di Bandar Tun Razak, Cheras dan Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HCTM) akan menerima akses percuma tuala wanita setiap bulan selama enam bulan yang diagihkan menerusi mesin layan diri.
Usaha itu dilaksanakan oleh syarikat pengendali mesin layan diri, ATLAS Vending dan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Libresse Malaysia.
"Usaha ini sekaligus dapat mengelak daripada golongan wanita merendah diri setiap kali datang haid kerana ada antara mereka yang tidak mendapat tuala wanita yang betul, sanggup ponteng sekolah setiap bulan kerana malu.
"Terima kasih kepada pihak yang terbabit dengan usaha ini dan diharap ramai lagi pihak tampil untuk membantu usaha ini di seluruh negara termasuk di kawasan Orang Asli," katanya.
コメント