top of page

Dr Samsuri Pengerusi PN: Pas tidak yakin golongan ulama mampu memerintah?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Keputusan Perikatan Nasional (PN) melantik Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi baharu mengundang tanda tanya apakah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak layak menerajui gabungan berkenaan.


Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos membangkitkan persoalan sama. Katanya, Pas yang berbangga dengan cogan kata ulama memerintah atau menguasai parti, dalam hal Pengerusi PN seolah olah berubah arah, Presiden dan Timbalan Presiden ibarat ‘tangkal’ sahaja bagi memastikan kewalakan dalam kalangan ahli tetapi tidak dibenar memimpin gabungan.


"Apabila berlakunya lantikan pengerusi yang bukan daripada kalangan senior seperti Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim (ia) melanggar hierarki parti sebenarnya.

"Kalau kita lihat, Tuan Ibrahim selaku Timbalan Presiden Pas, namun yang dilantik sebagai Pengerusi PN ialah Naib Presiden, Ahmad Samsuri.

Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

"Dari situ, kita nampak mungkin (wujud) ketidakpercayaan dalam kalangan pimpinan parti itu sendiri (terhadap kepimpinan ulama) apabila menamakan orang (golongan profesional) yang berada di hierarki lebih bawah daripada Timbalan dan juga Presiden (sebagai pengerusi)," katanya.


Diminta mengulas kenyataan Tuan Ibrahim yang menyatakan pelantikan Dr Samsuri sebagai Pengerusi PN bukan bertujuan menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri (PM), sebaliknya bagi memulihkan PN, Eddiarman beranggapan gabungan pembangkang tersebut masih berserabut mengenai calon PM, dan mungkin menyebabkan satu lagi pusingan krisis menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.


"Sebenarnya mereka masih lagi gagal untuk menamakan siapakah bakal calon PM, jadi benda ini sangat berlawanan dengan apa yang disindir-sindir (Mursyidul Am) Datuk Hashim Jasin beberapa bulan lepas yang mengatakan bahawa Pas ini ada berlori-lori bakal calon PM," ujarnya.


Selain itu, kata beliau pelantikan Dr Samsuri tanpa kepastian sama ada akan menjadi 'poster boy' pada PRU 16 menunjukkan Pas juga mengalami masalah dalaman sebagaimana Bersatu.


"Pas akhirnya menunjukkan realiti bahawa parti mereka pun sedang mengalami pergolakan.


"Sebenarnya PN memang sedang mengalami krisis dalaman, dan doa Qunut Nazilah yang dibaca oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail telah kembali kepada mereka," sinisnya.


Dalam pada itu, Eddiarman memuji pendekatan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN, dalam menitikberatkan aspek pengurusan dan mengutamakan pentadbiran demi kepentingan rakyat.


Oleh itu, PN, kata beliau tidak wajar dipilih rakyat dalam PRU 16 kerana tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman.


"Bagaimana PN hendak memastikan pentadbiran negara (berjalan dengan baik) sekiranya mereka mengambil alih kerajaan, sedangkan urus tadbir dalam parti dan gabungan mereka sendiri dilihat masih huru-hara?," soalnya.


Pada 24 Februari lalu, media melaporkan Tuan Ibrahim berkata pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baharu bukan bermatlamat untuk menjadikan beliau sebagai ‘poster boy’, sekali gus calon PM.


Sebaliknya, beliau menjelaskan pelantikan Menteri Besar Terengganu itu bertujuan memperkasa gabungan berkenaan dengan membina semula kekuatan parti dari peringkat akar umbi di seluruh negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page