Wanita KEADILAN Pahang Lancar Gelanggang Silat Srikandi Gayong
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Wanita KEADILAN Negeri Pahang dengan kerjasama Wanita KEADILAN Kuantan secara rasmi melancarkan Gelanggang Silat Srikandi Gayong baru baru ini sebagai inisiatif memperkasa wanita melalui seni bela diri dan pembinaan disiplin diri.
Program yang dijalankan bersama Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Negeri Pahang itu akan diadakan di Gelanggang Latihan Sri Teja, Bandar Putra Kuantan. Penyertaan dibuka kepada anggota wanita KEADILAN serta orang awam, termasuk wanita, remaja dan kanak-kanak sekolah di sekitar Kuantan.
Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Sridayu Samsuri berkata, gelanggang sulung yang digerakkan oleh Wanita KEADILAN itu menjadi realiti hasil kerjasama berpasukan serta sokongan kepimpinan wanita di 14 Cabang mewakili 14 Parlimen di negeri berkenaan.
"Gelanggang ini merupakan yang pertama digerakkan oleh Wanita KEADILAN di peringkat nasional. Ia membuktikan komitmen dan kesatuan gerak kerja wanita di Pahang dalam memperkasa agenda pembangunan sahsiah dan ketahanan diri," katanya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut selaras dengan agenda keenam tumpuan Sukma Waja Pahang, iaitu Silat Srikandi sebagai teras memperkukuh ketahanan fizikal dan mental wanita melalui seni bela diri.
"Ia juga menyahut seruan Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dalam usaha memperkasakan pendekar madani di peringkat akar umbi termasuk di sekolah-sekolah, sebagai langkah membina generasi muda yang berdaya tahan dan berdisiplin," ujarnya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Datuk Ahmad Farhan Fauzi; Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi; Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Pahang, Hilmi Yakap; serta barisan kepimpinan MPN, MPWN dan Angkatan Muda KEADILAN Pahang.




Comments