top of page

Parti politik bukan pentas tanpa tanggungjawab, ada peraturan, disiplin - AMK Selangor

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli mempertikaikan surat tunjuk sebab yang diterimanya sebagai tidak wajar, memandangkan beliau sebelum ini berulang kali mengkritik parti dan Presiden secara terbuka di pelbagai platform media.


Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq (gambar) berkata, mengkritik itu merupakan hak setiap individu namun apabila kritikan dibuat secara berterusan sehingga menyentuh kepimpinan tertinggi parti, termasuk Presiden dan memberi gambaran negatif kepada umum seolah-olah KEADILAN parti bermasalah secara menyeluruh maka wajar pihak organisasi mempertahankan disiplin dengan mengeluarkan surat berkenaan.


"Parti politik bukan pentas bebas tanpa tanggungjawab. Ia ada peraturan dan ada Lembaga Disiplin.


"Kita juga tidak lupa bagaimana Khairy Jamaluddin sebelum ini berdepan tindakan tegas apabila tindakannya dianggap melanggar disiplin parti UMNO.


"Dalam politik, setiap tindakan ada implikasi. Jangan terkejut apabila organisasi bertindak mengikut perlembagaannya sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam kenyataan sama, Iman memberi perumpamaan dan mengibaratkan situasi tersebut seperti seorang pekerja di sebuah syarikat yang secara terbuka mengkritik majikan juga organisasinya sehingga menjejaskan imej serta reputasi syarikat berkenaan.


"Jika setiap hari dia memuat naik kenyataan mengkritik syarikat dan bosnya secara terbuka, sehingga mencalarkan imej organisasi, adakah syarikat itu akan berdiam diri? Atau akan memanggil untuk penjelasan? Atau terus dibuang?


"Surat tunjuk sebab bukan hukuman. Ia ruang untuk menjawab. Tapi parti bagi surat tunjuk sebab, lagi dia ‘menyanyah’ dan memberi imej buruk kepada parti," bidas beliau lagi.


Iman yang juga Ketua AMK Ampang bagaimanapun berkata, beliau tidak ‘mengambil pusing’ berhubung hasrat Rafizi untuk bertanding atas tiket mana-mana parti pada pilihanraya akan datang kerana perkara itu merupakan hak peribadi beliau.


Namun ujarnya, janganlah digambarkan seolah-olah parti KEADILAN tidak pernah berjasa kepada Ahli Parlimen Pandan itu.


Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan KEADILAN selama ini dibina atas pengorbanan dan usaha ribuan ahli serta pimpinan di pelbagai peringkat, bukan hasil tindakan seorang individu semata-mata.


"Parti ini lebih besar daripada mana-mana individu. Kalau benar mahu berbeza haluan, lakukan dengan tertib dan bermaruah.


"Tidak perlu mencipta naratif seolah-olah diri dizalimi hanya kerana organisasi melaksanakan tanggungjawab mempertahankan disiplin," katanya lagi.


Semalam, Rafizi memaklumkan bahawa beliau menerima surat tunjuk sebab daripada Parti Keadilan Rakyat atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti.


Beliau memberi jaminan akan menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page