Dr Maszlee terima cadangan debat dengan Onn Hafiz, biar rakyat menilai
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Dr Maszlee Malik yang dinamakan sebagai calon PH kerusi DUN Puteri Wangsa mengesahkan beliau bersetuju untuk menghadiri debat terbuka bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau menerima pelawaan berkenaan dengan penuh rasa rendah diri dan hormat selain melihat debat tersebut sebagai ruang untuk memperkukuh budaya politik matang.
"Dengan segala rasa rendah diri dan hormat, serta berpijak di atas latar dan prinsip demokrasi, saya menerima pelawaan ini.
"InsyaAllah kita bersama-sama menjadikan ruang debat/dialog ini sebagai wahana untuk mendidik rakyat dan menjulang budaya politik matang. Bismillah…," katanya dalam hantaran di Facebook.
Sebelum itu, tular poster janaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah Maszlee dan Onn Hafiz sebagai calon yang akan berdebat dalam satu program sempena PRN Johor.
Cadangan debat berkenaan mendapat perhatian selepas penganalisis dan penulis, Muhammad Harris Nasril sebelum ini berpandangan bahawa kedua-dua tokoh tersebut wajar duduk sepentas bagi membentangkan tawaran serta hala tuju masing-masing untuk Johor.
Menurut Harris, pertandingan politik seharusnya memberi ruang kepada rakyat menilai kemampuan pemimpin berdasarkan idea, rekod pentadbiran dan perancangan masa depan, bukan sekadar melalui slogan atau kempen.
"Sebab itu saya fikir elok benar kalau kedua-dua tokoh ini duduk sepentas dalam satu debat terbuka. Bentangkan apa yang mahu dibuat untuk Johor.
"Biar Onn Hafiz datang dengan rekodnya. Biar Maszlee datang dengan tawarannya. Selepas itu, serahkan sahaja kepada rakyat Johor untuk menilai," katanya.
Harris sebelum ini turut menyifatkan kedua-dua tokoh mempunyai latar belakang berbeza yang boleh memberi perbandingan kepada pengundi.
Katanya, Onn Hafiz lebih dekat dengan aspek pentadbiran, pengurusan ekonomi dan rekod kerajaan negeri, manakala Maszlee membawa pengalaman dalam bidang dasar, pendidikan serta pemikiran sosial.
Beliau berpandangan debat terbuka antara kedua-duanya boleh menjadi medan untuk rakyat Johor melihat sendiri kemampuan calon dalam menjawab isu negeri.
"Johor memerlukan politik yang lebih matang. Rakyat tidak mahu sekadar mendengar slogan atau melihat poster cantik. Mereka mahu tahu apa rancangan sebenar untuk negeri ini," katanya.
Maszlee yang merupakan bekas Menteri Pendidikan (2018 - 2019) sebelum ini turut disebut-sebut sebagai antara nama yang berpotensi menjadi calon Menteri Besar Johor sekiranya PH berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas PRN.
Sementara itu, Onn Hafiz merupakan penyandang jawatan Menteri Besar Johor selepas mengambil alih pentadbiran negeri pada 2022.




Comments