Dr Maszlee tekad bawa pembangunan seimbang di Puteri Wangsa, seluruh Johor
- Redzuan Shamsudin
- 15 minutes ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berikrar membawa agenda pembangunan yang lebih seimbang di seluruh Johor sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dr Maszlee yang memperoleh nombor tiga pada kertas undi berkata, beliau akan memanfaatkan tempoh berkempen untuk meraih sokongan pengundi demi membuka lembaran baharu kepada negeri itu.
"Sebagai calon HARAPAN, saya, Dr Maszlee Malik mendapat nombor tiga di kertas undi. Jadi kita bertekad menggunakan ruang yang ada untuk mendapatkan undi daripada rakyat kerana kemenangan di Puteri Wangsa dan seluruh negeri Johor akan membawa episod baharu di negeri Johor ini," katanya selepas selesai diumumkan sebagai calon DUN berkenaan di pusat penamaan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Dato' Onn.
Mantan profesor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, antara fokus utama PH pada PRN ini adalah memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di selatan Johor, sebaliknya dinikmati secara menyeluruh oleh semua daerah.
"Kita mahu Johor yang membawa kemajuan yang seimbang di seluruh daerahnya, bukan hanya tertumpu di selatan. Kita mahu setiap pihak menikmati kehidupan yang lebih baik, bukan hanya untuk golongan tertentu tetapi semua," katanya.
Menurut beliau, usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti turut menjadi keutamaan bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
"Kita bertekad untuk meningkatkan pelaburan, bukan hanya pelaburan yang menyediakan pekerjaan tetapi juga pelaburan yang menjanjikan pekerjaan yang lebih besar bayarannya," katanya.
Beliau berkata, peluang pekerjaan yang lebih baik diyakini mampu menarik anak Johor yang bekerja di luar negeri dan luar negara untuk pulang berkhidmat.
"Kalau kita berjaya membawa pelaburan yang benar-benar strategik dengan bayaran gaji yang lebih tinggi, insya-Allah kita berupaya membawa anak Johor pulang dan bekerja di sini," katanya.
Mantan Menteri Pendidikan (kerajaan PH 1.0) itu turut menjanjikan penambahbaikan dalam sektor pendidikan, kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU), perumahan serta kemudahan penjagaan kanak-kanak.
"Kita juga bertekad untuk memastikan pendidikan menjadi agenda utama dan memastikan Orag Kurang Upaya OKU di Johor yang jumlahnya hampir mencapai 100,000 yang kini tidak diberi banyak perhatian oleh pihak kerajaan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, PH juga mahu memastikan lebih ramai anak muda mampu memiliki rumah pada harga berpatutan selain menyediakan lebih banyak taska komuniti dan taska di tempat kerja bagi membantu wanita bekerja.
Dalam pada itu, Dr Maszlee yang juga disebut sebut media sebagai 'poster boy' PH berkata, kempen PH akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi, termasuk menggalakkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi.
"Kita akan cuba memberi keyakinan kepada mereka untuk pulang mengundi. Mereka mengundi untuk masa depan mereka dan anak cucu mereka serta memastikan Johor yang selari dengan Kerajaan Persekutuan mampu membawa pembangunan yang seimbang," katanya.
