Dr Hakim cabar Tok Mat dengan misi ubah Rantau


"Saya melihat ini bukan soal berdepan individu, tetapi soal memberi pilihan alternatif kepada rakyat Rantau"
Itu penegasan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.27 DUN Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi, yang tampil membawa misi perubahan apabila berdepan calon gergasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).
Doktor perubatan itu berkata, beliau menerima cabaran berkenaan bukan kerana mahu mencipta sensasi politik, sebaliknya terdorong melihat masih banyak isu rakyat yang memerlukan perhatian segera.
Dengan latar belakang sebagai doktor dan pengalaman turun padang bersama masyarakat, saya terpanggil menawarkan khidmat yang lebih segar, responsif dan benar-benar berfokus kepada keperluan rakyat
"Saya terima cabaran ini dengan penuh rendah diri dan tanggungjawab demi membawa suara alternatif untuk menjadikan Rantau lebih baik," katanya kepada Suara Keadilan.
Dr Azizul Hakim berkata, jika diberi mandat oleh pengundi, perkara pertama yang akan diberi perhatian ialah memperkukuh sistem kesihatan komuniti yang menurutnya masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki.
Katanya, Klinik Kesihatan Rantau dan Sendayan perlu diperkasakan selain program saringan kesihatan berkala diperluaskan terutama kepada warga emas dan golongan berisiko bagi memastikan rawatan awal dapat diberikan.
"Ramai rakyat memerlukan akses kesihatan yang lebih mudah. Kita mahu membawa perkhidmatan lebih dekat dengan komuniti," katanya.
Selain kesihatan, beliau mengakui tekanan kos sara hidup menyebabkan ramai peniaga kecil terus bergelut mencari pendapatan.
Justeru, beliau mahu memperkasakan usahawan tempatan melalui latihan, bantuan pembiayaan dan geran selain membuka lebih banyak peluang perniagaan supaya ekonomi rakyat benar-benar berkembang.
Tidak hanya itu, Dr Azizul Hakim turut menyifatkan masalah infrastruktur di beberapa kawasan Rantau sebagai isu yang tidak boleh lagi ditangguhkan.
Menurutnya, kawasan pesat membangun seperti Bandar Ekar masih berdepan isu penyelenggaraan perumahan, sistem perparitan, pengurusan sampah serta kemudahan asas yang perlu diberi perhatian segera.
Beliau turut membangkitkan isu perumahan mampu milik di Sendayan yang menurutnya semakin mendesak apabila ramai anak muda sukar memiliki rumah sendiri.
"Pengangkutan awam di Sendayan juga masih tidak menyeluruh. Ada kawasan yang tidak menerima liputan perkhidmatan, selain lampu isyarat yang masih menggunakan sistem lama.
"Ini semua memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk dan perlu diselesaikan dengan segera," katanya.
Beliau menegaskan isu keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan apabila mendakwa laluan menuju Pekan Rantau masih gelap pada waktu malam akibat kekurangan lampu jalan.
Dr Azizul Hakim berkata, beliau menawarkan kepimpinan yang berpaksikan penyelesaian, bukannya retorik politik, dengan harapan rakyat Rantau diberikan pilihan baharu untuk menentukan masa depan kawasan itu pada PRN16.




Comments