top of page

Dr Hakim rancang projek Rumah Harapan jika dipilih wakil rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jul 22
2 min read

Penyediaan rumah mampu milik untuk anak tempatan, sistem trafik yang lebih cekap serta penambahan sekolah menjadi antara keutamaan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi (gambar) sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke 16, pada 1 Ogos ini.


Dr Azizul berkata, pembangunan pesat di Bandar Sri Sendayan perlu diseimbangkan dengan keperluan asas penduduk agar manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk generasi muda Felda Sendayan.


"Bandar Sri Sendayan berkembang dengan begitu pesat, tetapi masih ramai anak-anak Felda Sendayan daripada generasi kedua, ketiga dan keempat yang tidak mampu memiliki rumah di kawasan ini.


"Sebab itu saya mahu memperkenalkan projek Rumah Harapan, iaitu rumah mampu milik berharga antara RM50,000 hingga RM150,000 yang mengutamakan anak jati Sendayan," katanya.


Dr Azizul (berdiri) mengunjungi warga emas ketika berkempen di DUN Rantau
Dr Azizul (berdiri) mengunjungi warga emas ketika berkempen di DUN Rantau

Menurut beliau, kira-kira 500 keluarga daripada generasi peneroka Felda Sendayan dikenal pasti berdepan cabaran untuk memiliki kediaman sendiri berikutan harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat.


Selain perumahan, Dr Azizul berkata, aspek mobiliti penduduk juga memerlukan perhatian segera memandangkan Bandar Sri Sendayan kini dihuni ribuan penduduk yang berulang-alik ke tempat kerja di Nilai, Sepang dan Lembah Klang setiap hari.


Katanya, sistem pengangkutan awam di kawasan itu masih belum memadai, manakala sebahagian lampu isyarat pula menggunakan teknologi lama yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.


"Saya mahu membawa pendekatan bandar pintar dengan menaik taraf lampu isyarat kepada sistem pintar yang boleh mengawal tempoh lampu hijau dan merah mengikut jumlah kenderaan di sesuatu laluan.


"Ini dapat membantu melancarkan aliran trafik, terutama pada waktu puncak," jelas beliau.


Dr Azizul turut menyuarakan kebimbangan terhadap kapasiti sekolah di Bandar Sri Sendayan yang disifatkan tidak lagi seiring dengan pertumbuhan penduduk.


Menurutnya, statistik menunjukkan kawasan itu merekodkan pertambahan kira-kira 12,000 penduduk dalam tempoh lima tahun, namun kemudahan pendidikan masih belum berkembang pada kadar yang sama.


"Saya akan membawa isu ini kepada Kementerian Pendidikan supaya lebih banyak sekolah dapat dibina.


"Anak-anak tidak seharusnya terpaksa belajar jauh dari rumah hanya kerana sekolah sedia ada sudah penuh," ujarnya.


Dr Azizul berkata, beliau mahu memastikan pembangunan Bandar Sri Sendayan bukan sekadar tertumpu kepada projek fizikal, sebaliknya turut memberi penekanan kepada kesejahteraan penduduk melalui penyediaan kemudahan perumahan, pendidikan dan pengangkutan yang lebih baik.


Beliau berharap rakyat di DUN Rantau akan memberi peluang kepadanya untuk merealisasikan agenda tersebut demi manfaat jangka panjang masyarakat setempat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page