Oleh: Abdullah Zaid
Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) seharusnya disokong oleh semua dewan perniagaan bagi memastikan inisiatif tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta menyeluruh.
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, dengan menyokong ikhtiar itu negara diyakini dapat mencapai matlamat PuTERA35 dalam memperkasakan ekonomi usahawan Bumiputera untuk masa hadapan yang lebih cemerlang.
"DPIM menyeru penglibatan aktif semua dewan perniagaan dalam pelaksanaan PuTERA35 kerana ahli-ahli dewan perniagaan mempunyai kepakaran dan pengalaman mendalam dalam industri yang relevan.
"Kepakaran ini penting untuk program pembangunan usahawan yang lebih efektif dan strategik sejajar dengan matlamat dan visi PuTERA35.
"Penglibatan dewan perniagaan akan memperkukuh kerjasama dan memastikan bahawa inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan.
Pada 19 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan PuTERA35 sebagai pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera ke tahap yang lebih baik serta lebih jelas selepas berakhirnya Dasar Ekonomi Baharu tiga dekad lalu.
Susulan itu, DPIM menyambut baik visi PuTERA35 yang memfokus untuk mengangkat darjat serta martabat kaum Bumiputera melalui penyertaan, pemilikan serta penguasaan ekonomi yang lebih bermakna.
Jelas Mohammad Sahar, pihaknya turut mengalu-alukan pelaksanaan inisiatif tersebut yang menunjukkan komitmen jangka panjang Kerajaan Madani dalam memperkukuh ekonomi Bumiputera di samping menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia.
"PuTERA35 merangkumi 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar, yang memberikan panduan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera sehingga tahun 2035, termasuk peluang dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi dan inovasi.
"Pelan ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada Bumiputera tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI dan Agenda Pembangunan Lestari 2030," katanya lagi.
Untuk rekod, PuTERA35 menggarap tiga matlamat utama iaitu Membangunkan Bumiputera yang Dinamik dan Futuristik; Menetapkan Sasaran Jelas untuk Pengukuran Penyertaan dan Penguasaan Ekonomi Bumiputera dan Membangunkan Mekanisme Pemantauan Berkesan.
Selain itu inisiatif baharu berkenaan turut menerapkan tiga teras utama iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara; Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi serta Menegakkan Keadilan Sosial.
Comments