Doktor terjejas kelewatan PAT 2026 tidak dikenakan tindakan - Dr Dzulkefly
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Pengamal perubatan yang terkesan kelewatan pengeluaran Perakuan Amalan Tahunan (PAT) 2026 boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan kepada status sah serta perlindungan indemniti profesional mereka.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, susulan kelewatan pengeluaran sijil perakuan tersebut seperti dimaklumkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), tiada tindakan penguatkuasa akan dikenakan kepada pengamal perubatan sekiranya permohonan dan bayaran telah dibuat sebelum atau pada 31 Disember 2025 serta masih dalam proses melalui sistem MeRITS.
"Dalam keadaan biasa Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) boleh mengambil tindakan terhadap pengamal perubatan yang beramal tanpa PAT sah di fasiliti berlesen atau berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], termasuk pengeluaran notis tunjuk sebab atau kompaun.
"Bagaimanapun, pengecualian ini diberikan khusus bagi isu kelewatan pengeluaran PAT 2026 dan tertakluk kepada syarat permohonan serta bayaran dibuat dalam tempoh ditetapkan," katanya menerusi hantaran di platform X.
Dr Dzulkefly sementara itu menegaskan beliau memandang serius isu kelewatan berkenaan dan tidak mahu kelemahan pentadbiran menjejaskan kelangsungan tugas barisan hadapan kesihatan.
Sehubungan itu, katanya, kementerian akan melaksanakan pelan pemulihan sistem secara menyeluruh dengan kerjasama MMC bagi memastikan isu sama tidak berulang.
"Audit dalaman akan dijalankan dan MMC dikehendaki mengemukakan laporan terperinci mengenai punca kelewatan, langkah mitigasi serta garis masa penyelesaian penuh.
"Kementerian juga komited menaik taraf sistem legasi MeRITS kepada platform digital yang lebih teguh, automatik dan berasaskan peraturan bagi memperkemas proses kelulusan PAT," tambahnya.
MMC pada Sabtu memaklumkan, kelewatan pengeluaran PAT 2026 susulan peningkatan mendadak permohonan diterima pada penghujung tahun lalu, terutama membabitkan permohonan dengan dokumen sokongan yang diterima lewat.









Comments