Kontroversi yang ditimbulkan dalam Debat Perdana di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak semalam mengenai kemungkinan syarikat Digital Nasional Berhad (DNB) akan mengulangi 1Malaysia Development Berhad bukan isu berkaitan teknikal semata mata tetapi urustadbir yang baik.
Menurut Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad, masalah utama di situ adalah penyediaan modal oleh pihak kerajaan untuk sebuah syarikat pembekal spektrum 5G yang tidak dilakukan di banyak negara di dunia.
Katanya, gelombang 5G juga perlu digunakan sepenuhnya di sekolah dan pusat pengajian tinggi untuk lebih memudahkan penyebaran teknologi berkenaan ke pihak umum.
"DNB berkaitan dengan isu ketersambungan. Ini saya pernah bercakap di Parlimen. Kalau kita nak memulakan teknologi baru mestilah diawalkan di sekolah, universiti sebab mereka inilah yang akan menjadi pengguna pertama. Kumpulan terawal pengguna.
"Namun jika kita tengok situasi negara, 3G pun tidak meluas atau tidak stabil. 4G kita tengoklah situasi. Kita nak bercakap pula soal 5G, memang lagi jauh.
"Cuma bila kita tengok isu DNB ini sangat besar bila di Parlimen bila Datuk Seri Anwar bangkitkan bukan isu teknologi tetapi tentang prinsip urustadbir baik. Amalan kita selalu nak buat benda besar, buat GLC, kerajaan beri jaminan, buat pinjaman berpuluh bilion tetapi berdasarkan beberapa contoh terdahulu kita tengok banyak kelemahan fundemantal yang tidak ditangani sewajarnya," ujar beliau dalam bualbicara "Jangan Panas Bersama Sam" dimoderatorkan oleh Ketua Penerangan KEADILAN pusat, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam.
Tegas Noor Amin yang pernah menetap di Amerika Syarikat selama beberapa tahun, isu teknologi nombor dua di Malaysia tetapi urustadbir baik yang tidak 'melesapkan modal' perlu diutamakan. Bagi sebuah syarikat bermodal sehingga RM18 bilion, katanya, perlu mempunyai kecekapan, seperti memasak perlukan keseimbangan untuk hidangan yang lazat dan berjaya.
"Isu teras ialah tatakelola baik. Kita ambil soal kepimpinan ini seperti garam dalam masakan. Kalau kita guna terlebih tak sedap, kurang pun tak sedap.
"Jadi kepimpinan kita kata secukup rasa. Bagaimana kita nak lakukan sampai secukup rasa. Kalau urus GLC tidak cukup buat syarikat dan letak duit, perlu ada proses tapisan. Buat jawatankuasa Parlimen, pemantauan dan sebagainya" kata Amin yang tidak puas hati kerana jawapan di Parlimen mengenai DNB tidak menerangkan dengan tepat berapakah pelaburan kerajaan.
Mengenai isu Pemilihan KEAIDLAN 2022 pula, beliau berkata akan menyokong Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai timbalan presiden kerana sejak sekian lama melihat kekuatan tokoh itu dalam memperbaiki parti selepas huru hara Langkah Sheraton.
"Memang dari awal saya sebut Saifuddin yang saya nampak boleh menggarap parti. Beliau yang boleh (berupaya) membantu parti.
"Masa itu Saifuddin menolak (dicalonkan timbalan presiden) dan mengatakan tanggungjawab dia banyak. Masa itu belum lagi pemilihan. Bila hampir kepada pemilihan saya cakap Saifuddin orang yang layak. Kemudian Rafizi berminat. Tak kan saya nak kata sokong Rafizi pula. Sudah tentulah (saya cadang dia bertanding) jawatan yang lebih bawah, naib presiden.
"Saya tak menafikan sumbangan Rafizi. Saya tak kata jangan bertanding. Beliau pernah jadi naib presiden," katanya mengulas isu pertentangan pendapatnya sebelum ini dengan Rafizi.
Noor Amin yang mempertahankan posisi ketua cabang Kangar mengharapkan pemilihan di Perlis berjalan lancar dan anggota akan memilih yang terbaik untuk pasukan yang akan menempuh Pilihan Raya Umum ke 15.
"Berdasarkan pendaftaran atas talian saya rasa pengundian kali ini paling meriah. Mungkin didorong semangat hampir pilihan raya. Ada yang merasakan bila menang ada peluang jadi calon.
"Saya menyeru anggota parti keluar mengundi fizikal beramai ramai. Yang sudah daftar mengundi atas talian juga lakukan tanggungjawab.
"Saya menawarkan diri sebagai ketua cabang bersama pasukan yang bekerja yang dikenali. Keahlian cabang Kangar bertambah dan ini juga satu motivasi kepada kita. Saya harap anggota beri penilaian yang sewajarnya," kata Noor Amin lagi
Commenti