top of page

Diskriminasi kewarganegaraan anak berbapa warga asing tamat — Saifuddin

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 5 minutes ago
  • 1 min read

Selepas hampir tujuh dekad, diskriminasi terhadap kewarganegaraan anak dari wanita Malaysia yang melahirkan anak dengan suami warga asing di laur negara akhirnya berjaya diatasi susulan pindaan Perlembagaan yang telah diluluskan dan dikuatkuasakan bulan ini.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, perubahan itu memberi keadilan kepada wanita warganegara Malaysia yang sebelum ini berdepan kekangan dalam mewariskan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.


"Mak, kenapa saya tak boleh pergi sekolah?" catatnya dalam muat naik di media sosial menggambarkan realiti menyentuh hati yang dihadapi oleh anak-anak yang tidak mendapat kewarganegaraan itu sebelum pindaan dilaksanakan.


Menurut Saifuddin, sebelum ini anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak menikmati hak kewarganegaraan.


"Selepas 69 tahun, diskriminasi terhadap wanita Malaysia dalam isu kewarganegaraan akhirnya ditamatkan," kata beliau.


Saifuddin menjelaskan bahawa pindaan tersebut merupakan antara keutamaan yang diusahakan sejak 2023 bagi memastikan kesaksamaan hak di sisi undang-undang.


"Alhamdulillah pindaan ini telah diluluskan di Parlimen dan kini dikuatkuasakan pada Jun tahun ini," ujarnya.


Dengan pindaan itu, wanita Malaysia kini mempunyai hak yang sama rata dalam mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka.


Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.


"Kerajaan MADANI dan Pakatan Harapan bukan sekadar berjanji, tetapi melaksanakan reformasi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page