Direktori premis seluruh negara yang menyediakan Menu Rahmah akan diwujudkan untuk memudahkan orang ramai menikmati makan tengah hari dan malam pada harga serendah RM5 sepinggan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata inisiatif itu akan dimulakan di negeri Pahang dan akan diperluas ke seluruh negara secepat mungkin.
"KPDN akan memulakan inisiatif itu dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia (PERTOM) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS)," katanya selepas mengadakan Lawatan Kerja di Indera Mahkota semalam.
Untuk rekod, Menu Rahmah adalah satu sajian makan yang merangkumi nasi, satu pilihan protein sama ada ayam, daging atau ikan dan sayuran untuk membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
Kempen itu merupakan kerjasama sinergi antara kerajaan bersama pemain industri makanan dan minuman.
Ia bukan sahaja disambut hangat oleh pelanggan, malah peniaga dan premis makanan persendirian seluruh negara turut menyahut seruan KPDN dengan menyediakan menu pada harga bawah RM5.00.
Sementara itu tambah Fuziah, inisiatif menurunkan harga menggunakan jenama 'Rahmah' bukan hanya tertumpu kepada sektor makanan sahaja tetapi turut boleh diikuti oleh sektor lain seperti perubatan dan pendidikan.
"Kos sara hidup ni bukan sahaja melibatkan makanan, tapi melibatkan kesihatan... ubat-ubatan... melibatkan perumahan... tempat tinggal... melibatkan pengangkutan, pendidikan dan sebagainya.
"Jadi KPDN akan sentiasa bekerjasama dengan kementerian yang lain dan juga industri-industri untuk memastikan bahawa kos sara hidup itu dapat kita kawal. Jadi kalau ada farmasi nak tampil, kita amat alukan," katanya.
Comments