top of page

Diplomasi tinggi Anwar patahkan fitnah pembangkang di pentas ASEAN - Penganalisis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 29
  • 2 min read
Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia juga menganjur mesyuarat dengan pelbagai negara dalam meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama perdagangan serta ekonomi
Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia juga menganjur mesyuarat dengan pelbagai negara dalam meningkatkan hubungan diplomatik dan kerjasama perdagangan serta ekonomi

Oleh: Helmi Mohd Foad

Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dianggap antara pencapaian diplomatik paling signifikan dalam karier politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut Pengerusi Madani Research Centre, Dr Madhi Hasan.


Beliau mengingatkan hanya tiga bulan lalu pembangkang menggerakkan kempen “Turun Anwar” untuk menggugat kredibiliti kerajaan, namun kepimpinan Anwar dalam mendamaikan konflik Thailand–Kemboja membuktikan Malaysia kembali memainkan peranan utama sebagai penyelesai konflik serantau.


"Kecekapan PMX dalam menangani konflik serantau tersebut telah mengundang kekaguman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan menimbulkan minatnya untuk hadir ke Kuala Lumpur," kata Dr Madhi kepada Suara Keadilan.


Madhi berkata, kehadiran Trump dilihat sebagai pengiktirafan terhadap kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.


Beliau menegaskan reputasi antarabangsa Anwar yang telah dibina lama sebelum menjadi Perdana Menteri menjadi faktor ramai pemimpin kuasa besar hadir ke Kuala Lumpur.

Tidak hanya dengan Amerika Syarikat, perjanjian dagang juga dimeterai dengan China
Tidak hanya dengan Amerika Syarikat, perjanjian dagang juga dimeterai dengan China

"Anwar telah mengangkat standard kepengerusian ASEAN ke tahap yang lebih aktif sebagai jurubicara utama negara-negara Asia Tenggara," ujarnya.


Beliau berkata diplomasi Melayu yang lunak dan berkias berjaya meredakan ketegangan melibatkan perang tarif dan isu Gaza, sambil mengekalkan pendirian ASEAN yang neutral dalam persaingan kuasa besar.


Madhi menjelaskan kedudukan geopolitik ASEAN memberi kelebihan dari sudut pelaburan asing, akses pasaran lebih luas, serta kerjasama keselamatan dan ketenteraan.


Katanya semua pemain utama iaitu Amerika Syarikat, China, Jepun dan Eropah mahu mengekalkan kehadiran kukuh di rantau ini.


"Kedudukan strategik dan potensi ASEAN menyebabkan semua pemain utama ekonomi dan politik antarabangsa tidak mahu ketinggalan daripada mengambil posisi di pentas ASEAN," katanya.

Dr Madhi Hasan
Dr Madhi Hasan

Mengulas hubungan dua hala, beliau berkata Malaysia kini sebaris dengan Singapura, Indonesia dan Vietnam selepas hubungan dengan Washington dinaiktaraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) iaitu tahap tertinggi kerjasama diplomatik dan ekonomi.


Antara hasil terawal ialah Perjanjian Perdagangan 17 perkara yang ditandatangani Anwar dan Trump yang memberi kelegaan tarif kepada Malaysia, sekali gus menyokong strategi pertumbuhan berasaskan teknologi dan industri bernilai tinggi.


Pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin di dalam The Beast turut dinilai sebagai simbol hubungan yang semakin akrab, ujarnya.


"Pertemuan Trump dan Anwar serta perbualan empat mata antara mereka di dalam limosin ‘The Beast’ mungkin menjadi permulaan kepada era baharu dalam hubungan Malaysia-Amerika Syarikat," ujarnya.


Madhi turut menyamakan detik itu dengan lawatan Tun Abdul Razak ke Beijing pada 1974 yang mengubah haluan dasar luar Malaysia.


Namun beliau menegaskan, Anwar tetap teguh memperjuangkan keadilan global buat dunia Islam dan Selatan Global.


"Anwar sebagai salah seorang tokoh utama dalam dunia Islam sudah pasti tidak akan lupa untuk mempertahankan nasib umat Islam sedunia selain daripada menjaga kepentingan nasional dan serantau," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page