Diplomasi strategik PM berhasil lindungi negara dari krisis geopolitik
- Redzuan Shamsudin

- Mar 28
- 2 min read

Wanita KEADILAN menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan berjaya mengemudi negara dalam menghadapi krisis geopolitik global melalui pendekatan diplomasi strategik.
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar berkata, tindakan tegas Perdana Menteri menjadi benteng utama dalam melindungi keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi negara ketika dunia berdepan ketidaktentuan.
"Wanita KEADILAN menyatakan sokongan penuh dan penghargaan terhadap kepimpinan tegas yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar dalam mengharungi krisis geopolitik global semasa.
"Ketika dunia berdepan ketidaktentuan luar biasa, pendekatan “Diplomasi Strategik” beliau terbukti menjadi benteng utama melindungi rakyat Malaysia, sekali gus memastikan keselamatan tenaga dan kestabilan ekonomi negara ketika negara lain bergelut," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, keupayaan Perdana Menteri mendapatkan kerjasama pemimpin dunia adalah hasil hubungan diplomatik yang dibina sejak sekian lama sewaktu PM masih menjadi Ketua Pembangkang.
"Kesediaan pemimpin dunia menjawab panggilan Perdana Menteri sejak kebelakangan ini bukanlah suatu kebetulan. Ia merupakan hasil daripada kepercayaan yang dibina sejak puluhan tahun serta jadual diplomatik yang konsisten sepanjang tiga tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, hubungan erat tersebut membolehkan Malaysia memperoleh jaminan langsung terhadap bekalan tenaga dan kestabilan ekonomi tanpa terikat kepada kerenah birokrasi.
Mengulas lanjut, beliau berkata campur tangan langsung Perdana Menteri ketika konflik di Laluan Selat Hormuz membantu memastikan kapal tangki Malaysia diberikan laluan selamat.
Katanya, usaha itu memberi kesan langsung kepada rakyat apabila bekalan elektrik kekal stabil, kos pengangkutan terkawal serta kesan kenaikan harga minyak global dapat diminimumkan.
Dalam pada itu, beliau berkata keupayaan kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga melalui rangkaian global Petronas ketika harga minyak menghampiri AS$120 setong akan memastikan Malaysia kekal berdaya tahan walaupun harga minyak dunia melambung.
"Dengan jaminan bekalan sehingga Mei 2026, langkah ini melindungi rakyat daripada tekanan inflasi melampau yang lazimnya berlaku akibat kekurangan tenaga," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan Perdana Menteri sebagai pengantara antara pemimpin Timur dan Barat telah meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
"Malaysia bukan lagi sekadar negara kecil yang memerhati sejarah, sebaliknya kini memainkan peranan dalam mencorakkannya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan negara memerlukan seorang negarawan dalam menghadapi krisis global, bukan sekadar ahli politik.
"PM Anwar telah membuktikan bahawa visi Malaysia MADANI disokong oleh pengaruh global yang mampu melindungi setiap isi rumah di negara ini," katanya.




Comments