Diplomasi PMX bawa suara keamanan Malaysia ke pentas dunia - Danish
- Sidiqin Omar

- 2 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N26 DUN Chembong, Danish Nazran Murad (gambar) menyifatkan usaha diplomasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan Malaysia bukan sekadar pemerhati, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membawa suara keamanan ke pentas antarabangsa.
Beliau berkata, pengalaman menyertai misi kemanusiaan baru-baru ini membuka matanya terhadap kekuatan hubungan diplomatik Malaysia apabila rundingan di peringkat tertinggi membolehkan urusan membawa pulang delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel dipermudahkan menerusi kerjasama dengan kerajaan Turki.
"Alhamdulillah dengan segala rundingan yang berlaku antara Datuk Seri Anwar dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan, rakyat Malaysia dibebaskan dari tahanan rejin zionis.
"Kami dijemput menaiki penerbangan Turki untuk pulang. Itu menunjukkan hubungan diplomatik negara memberi manfaat yang nyata," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program walkabout di sekitar DUN Chembong, semalam.

Danish berkata, pengalaman ditahan tentera Israel turut mengajar beliau bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya terlalu selesa sehingga melupakan penderitaan masyarakat di negara yang sedang bergolak.
Katanya, ramai yang menganggap kehidupan di Malaysia penuh cabaran, namun hakikatnya masih ramai di belahan dunia lain berdepan peperangan, kehilangan tempat tinggal dan krisis kemanusiaan yang jauh lebih getir.
"Misi ini melatih diri saya untuk memahami penderitaan orang lain dan mensyukuri nikmat keamanan yang kita ada di Malaysia," kata calon termuda PH yang berusia 27 tahun itu.
Dalam masa sama, beliau menggesa golongan muda supaya bersikap adil dalam menilai kepimpinan negara dengan mengiktiraf setiap usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa.
"Kita kritik apabila sesuatu itu salah, tetapi apabila sesuatu itu betul seperti usaha Perdana Menteri memperjuangkan keamanan melalui diplomasi, kita juga perlu memberi penghargaan.
"Walaupun Malaysia sebuah negara kecil, suara kita sebenarnya besar. Kita masih mempunyai peranan dalam memperjuangkan keamanan dan membantu masyarakat yang berdepan konflik di peringkat dunia," katanya lagi.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF) adalah sebuah gerakan maritim antarabangsa diterajui masyarakat awam yang bertujuan memecahkan kepungan haram Israel di Gaza untuk menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertindak sebagai penaung kepada Sumud Nusantara, negara pertama di dunia yang berbuat demikian dengan menyokong komponen armada Malaysia dalam misi global ini.
Di bawah kepimpinan Anwar, Kerajaan Malaysia menjadikan GSF sebagai misi nasional secara rasmi dan telah memberikan komitmen penuh inisiatif kemanusiaan tersebut.




Comments