top of page

Diplomasi MADANI tingkatkan hubungan Malaysia-Myanmar

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
1 hour ago
1 min read
Isu pelarian yang membelenggu dan ekonomi perlu diselesaikan melalui perundingan dan persefahaman
Isu pelarian yang membelenggu dan ekonomi perlu diselesaikan melalui perundingan dan persefahaman

Meskipun menerima kritikan menjemput pemimpin junta tentera Myanmar melakukan lawatan rasmi ke Malaysia namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih prinsip Diplomasi MADANI bagi menyelesaiakn isu pelarian Myanmar dan mengelakkan negara itu diasingkan terus daripada arus perdana politik ASEAN.


Sehubungan itu, hari ini Datuk Seri Anwar bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara serta memperluas kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.


Perbincangan meliputi perdagangan, ekonomi, tenaga dan keselamatan, selain usaha menangani jenayah rentas sempadan yang memerlukan penyelarasan serta komitmen bersama.


Dalam isu Myanmar, Anwar menekankan kepentingan dialog yang inklusif bagi menjayakan usaha perdamaian dan rekonsiliasi.


Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memainkan peranan memudah cara proses berkenaan ke arah mencapai keamanan yang berkekalan.


Pendekatan itu akan dilaksanakan dengan memanfaatkan mekanisme dan saluran sedia ada, termasuk melalui ASEAN, bagi memastikan usaha Malaysia dapat menyumbang secara konstruktif kepada kestabilan serantau.


Kesejahteraan rakyat diutamakan


Anwar turut menegaskan bahawa sebarang usaha berkaitan Myanmar perlu meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan, khususnya perlindungan orang awam serta akses bantuan kemanusiaan yang selamat kepada semua komuniti yang terjejas.


Dalam perbincangan itu, isu penghantaran pulang warga Myanmar turut disentuh dengan penekanan supaya proses berkenaan dilaksanakan secara sukarela, selamat dan bermaruah.


Malaysia dan Myanmar juga berhasrat menterjemahkan persefahaman dalam mesyuarat dua hala kepada tindakan nyata menerusi kerjasama yang lebih erat.


Melalui pendekatan Diplomasi MADANI, Malaysia akan terus memanfaatkan saluran dua hala dan serantau bagi memperkukuh hubungan dengan Myanmar, menyokong keamanan serta memastikan usaha yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page