Belanjawan 2027: Pemilikan rumah, kurangkan hutang PTPTN wajar diberi tumpuan


Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Jumaat ini perlu memberi keutamaan kepada langkah yang secara langsung mengurangkan perbelanjaan bulanan golongan belia, khususnya dalam aspek perumahan, makanan dan pengangkutan yang menjadi antara komponen utama kos sara hidup.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Nabil Halimi (gambar) berkata antara perkara yang boleh dipertimbangkan kerajaan ialah kadar khas e-hailing untuk pelajar bagi menyelesaikan masalah perjalanan first and last mile, khususnya bagi mereka yang tinggal jauh daripada stesen MRT, LRT atau laluan bas utama.
Selain itu katanya, cabaran utama anak muda pada hari ini bukan semata-mata tentang soal memiliki rumah, tetapi mempunyai tempat tinggal yang selamat, sesuai dan mampu dibayar.
"Sebab itu, konsep Sewa Untuk Dimiliki (RTO) perlu diperluaskan, di samping penyediaan lebih banyak pilihan sewaan mampu milik berhampiran jaringan pengangkutan awam.
"Kerajaan juga perlu mengkaji pengurangan atau pelupusan hutang PTPTN secara bersasar, khususnya bagi peminjam berpendapatan rendah yang telah menanggung hutang lebih 10 hingga 15 tahun.
"Tunggakan PTPTN kini mencecah RM11.06 bilion melibatkan kira-kira 1.2 juta peminjam. Cadangan ini bukan bermaksud semua hutang perlu dihapuskan.
"Sebaliknya, bantuan perlu diberikan berdasarkan tempoh hutang dan kemampuan pendapatan. Bagi peminjam baharu pula, bayaran balik wajar distrukturkan mengikut pendapatan supaya masalah tunggakan yang sama tidak terus berulang," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Nabil berkata kerajaan MADANI telah mengambil beberapa langkah yang tidak semestinya popular demi memperbaiki asas ekonomi negara, mengukuhkan kedudukan fiskal dan mengurangkan ketirisan sepanjang hampir empat tahun kebelakangan ini.
"Kini, rakyat perlu mula melihat hasilnya dalam bentuk pekerjaan yang lebih baik, kos kehidupan yang lebih rendah, akses tempat tinggal yang lebih mudah dan peluang mobiliti sosial yang lebih luas.
"Jika fasa awal pentadbiran tertumpu kepada memulihkan asas ekonomi negara, maka Belanjawan 2027 perlu menjadi fasa di mana hasil pemulihan itu lebih jelas dirasai oleh rakyat," katanya lagi.




Comments