Diplomasi Madani berjaya: 23 Rakyat Malaysia bebas dari tahanan Israel
- Suara Keadilan

- Oct 4
- 2 min read

Diplomasi Madani yang digerakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya memastikan 23 rakyat Malaysia yang ditahan rejim zionis Israel ketika menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan dan dibawa pulang dengan selamat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, kejayaan itu membuktikan keberkesanan diplomasi Malaysia yang berpaksikan kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat.
"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan besar yang dicapai oleh Perdana Menteri dalam membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam Misi Global Sumud Flotilla – Sumud Nusantara daripada tahanan rejim Zionis Israel.
"Kejayaan ini membuktikan kekuatan diplomasi Madani yang berpaksikan prinsip kemanusiaan, keadilan dan maruah rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saifuddin, pencapaian itu adalah hasil rundingan diplomatik yang panjang dan berlapis melibatkan pelbagai negara, termasuk Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat.
"Usaha ini mencerminkan keutuhan suara Malaysia di pentas dunia, sebuah negara yang tegas menolak kezaliman dan sentiasa mempertahankan hak rakyatnya di mana jua mereka berada.
"Kejayaan ini merupakan hasil rangkaian rundingan diplomatik yang panjang dan berlapis, melibatkan pelbagai negara termasuk Turkiye, Qatar, Mesir, Jordan dan Amerika Syarikat," katanya.
Saifuddin turut memaklumkan bahawa dirinya terlibat dalam perbincangan bersama Wakil Khas Presiden Amerika Syarikat, Steve Witkoff, bagi menyokong usaha diplomatik Perdana Menteri dan memperkukuh saluran komunikasi dengan pihak antarabangsa.

"Ia adalah bukti bahawa Kerajaan Madani bergerak dalam satu pasukan, bersatu dalam tindakan, bersepakat demi rakyat," jelasnya.
Ujarnya, kejayaan berkenaan bukan sahaja melibatkan keselamatan rakyat Malaysia, malah turut merangkumi sukarelawan dari Turkiye, Eropah, Indonesia serta negara lain yang menyertai misi flotilla kemanusiaan.
Beliau menegaskan misi GSF berjaya meningkatkan kesedaran global bahawa rejim Israel bukan sahaja menindas Palestin, tetapi juga menyekat bantuan kemanusiaan.
"Saya berpendapat misi ini amat berjaya dari sudut meningkatkan kesedaran global bahawa rejim Israel bukan sahaja menentang gerakan pembebasan Palestin dan Gaza, tetapi turut menyekat bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas.
"KDN menyambut kejayaan ini dengan penuh rasa syukur dan bangga. Ia bukan sekadar kejayaan membebaskan tahanan, tetapi juga kejayaan mempertahankan maruah dan keselamatan rakyat Malaysia," katanya.
Saifuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai diplomatik dan keselamatan yang bekerja tanpa henti bagi memastikan kepulangan sukarelawan Malaysia berjalan lancar.
"Semoga mereka yang dibebaskan diberikan kekuatan dan ketenangan selepas melalui ujian getir di bawah kekejaman rejim Zionis. Kejayaan ini mengingatkan kita bahawa Malaysia akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, dan bahawa suara kemanusiaan tidak akan pernah dapat dibungkam," ujarnya.
Untuk rekod, diplomasi Malaysia dianggap antara yang terpantas membebaskan rakyatnya dan hanya mengambil masa dua hari sejak tentera Israel menawan sukarelawan di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu, tawanan dibawa ke pelabuhan Ashdot di Selatan Israel dan kemudian dibebaskan dengan dihantar ke negara ketiga, Turkiye pada 4 Oktober.









Comments