Diplomasi lunak pasangan pemimpin serantau perkukuh persabahatan ASEAN
- Suara Keadilan

- Oct 28
- 2 min read

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menyifatkan pasangan pemimpin serantau sebagai jambatan diplomasi penting dalam memperkukuh hubungan komuniti ASEAN.
Berucap pada Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Carcosa Seri Negara pada Isnin, beliau menegaskan bahawa pasangan pemimpin bukan sekadar melengkapi peranan rasmi pasangan masing-masing tetapi turut berfungsi sebagai diplomat lunak (soft diplomat) yang membantu memupuk asas persahabatan jangka panjang antara negara.
"Melalui budaya, kreativiti dan pengalaman yang dikongsi, kita meraikan hubungan sejati yang terjalin bukan sahaja dalam forum rasmi tetapi juga melalui momen persahabatan dan kegembiraan.
"Bersama-sama, kita bina hubungan persahabatan berlandaskan komitmen untuk mencapai masa depan yang aman, inklusif dan mampan untuk semua. Tema kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, jelas terserlah melalui program ini," katanya dipetik.
Carcosa Seri Negara yang dibina pada 1896 dipilih sebagai lokasi acara istimewa bagi meraikan pasangan pemimpin utama dalam suasana santai yang menampilkan elemen warisan Malaysia.
Program itu menghimpunkan pasangan ketua negara dan kerajaan termasuk isteri Presiden Korea Selatan Kim Hea Kyung, isteri Presiden Filipina Louise Araneta-Marcos, isteri Perdana Menteri New Zealand Amanda Luxon serta isteri Perdana Menteri Kanada Diana Fox Carney.
Turut bersama pada acara itu adalah isteri Perdana Menteri Laos Vandara Siphandone, isteri Perdana Menteri Kemboja Dr Pich Chanmony Hun Manet, isteri Perdana Menteri Singapura Loo Tze Lui serta isteri Perdana Menteri Thailand Thananon Niramit.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta timbalannya Datuk Seri Noraini Ahmad.
Rombongan wanita pertama dipersembahkan pameran Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia seperti mekmulung, silat, makyung dan songket, pertunjukan kebaya ASEAN serta demonstrasi seni sulaman kasut manik oleh artisan tempatan.
Mereka turut menyertai aktiviti membuat terarium sebelum menikmati jamuan tengah hari dengan hidangan tradisional Malaysia.









Comments