Diplomasi dakwah pacu naratif kemanusiaan Malaysia di peringkat global
- Suara Keadilan

- 4 minutes ago
- 2 min read

Diplomasi dakwah perlu difahami sebagai pendekatan yang melangkaui ceramah atau institusi agama, sebaliknya sebagai strategi hubungan antarabangsa yang membawa nilai Islam ke dalam dasar, dialog global dan persefahaman antara tamadun.
Sehubungan itu, Ketua Misi MAPIM Rantau Asia Tenggara, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, menegaskan bahawa diplomasi dakwah mesti berteraskan maqasid dan rahmah, dengan sifatnya yang menyatukan serta membina ruang dialog, bukannya memecahkan masyarakat.
"Diplomasi dakwah bersifat menyatukan, bukan memecah. Ia membina ruang dialog dan kerjasama berdasarkan keadilan, keselamatan manusia, pemeliharaan maruah dan keluhuran akhlak," katanya mengulas mengenai pembentangan pelan Diplomasi Malaysia Dalam Isu Kemanusiaan Global yang dilakukan dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) diadakan di ibu negara, baru baru ini.
Menurutnya, pendekatan dakwah menuntut penglibatan pelbagai pihak — kerajaan, NGO, akademia, institusi agama, pemimpin masyarakat, media dan aktivis — selaras dengan konsep multi-stakeholder diplomacy.
Beliau menjelaskan bahawa diplomasi dakwah bukan sekadar ucapan atau wacana, tetapi turut melibatkan pembentukan naratif, imej dan kepercayaan global terhadap Islam melalui dasar, kerjasama serta tindakan kemanusiaan yang nyata.
Mengulas cabaran semasa, Fakhrulrazi berkata, Islamophobia yang semakin terinstitusi dalam dasar beberapa negara menuntut respons lebih sistematik.

"Diplomasi dakwah menjadi alat strategik untuk memecahkan stereotaip dan menegakkan naratif kebenaran," ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa isu-isu kemanusiaan global seperti Gaza, Sudan, Rohingya, Kashmir dan Uighur memerlukan pendekatan diplomatik yang bukan sekadar bersifat politik, tetapi berpaksikan nilai.
Selain itu, penguasaan media global terhadap imej Islam menjadikan pembangunan naratif alternatif yang berkesan sebagai keperluan mendesak.
"Dalam dunia yang membesar perpecahan, diplomasi dakwah membina jambatan dialog dan persefahaman," katanya, sambil menambah bahawa usaha ini penting bagi menampilkan umat Islam sebagai peneraju kemanusiaan, bukan sekadar objek geopolitik.
Mohd Fakhrulrazi menyatakan Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk menerajui diplomasi dakwah, melalui imejnya sebagai negara Muslim sederhana, hubungan baik dengan dunia Islam dan bukan Islam, kedudukan strategik dalam ASEAN serta masyarakat madani yang aktif.
Dalam pada itu, katanya, MAPIM berpotensi berperanan sebagai Pusat Rujukan Diplomasi Dakwah ASEAN–OIC, penyelaras misi kemanusiaan, pembangun modul diplomat dakwah, peneraju wacana moral dalam isu global serta pembina rangkaian strategik dengan universiti dan think tank antarabangsa.
Pembentangan pelan diplomasi dakwah antarabangsa dengan kerjasama YADIM tersebut dihadiri 50 NGO yang bekerjasama dalam misi berkenaan.









Comments