top of page

Dilema anak angkat: 'Kerajaan PH cuba selesaikan, kerajaan BN buat tak tahu'



Masalah pengambilan anak angkat bukan warganegara Malaysia pernah cuba diselesaikan dengan baik oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 lalu.


Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah telah berjumpa dan menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri untuk memudahkan cara permohonan kewarganegaraan bagi anak angkat yang telah melalui proses mahkamah.


Bagaimanapun, menurut mantan Timbalan Menteri KPWKM, Hannah Yeoh, isu itu tidak selesai sehingga kini apabila kerajaan bertukar dan kes yang membabitkan anak angkat masih sukar mendapat kewarganegaraan.


"Paling membingungkan ialah kes yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah mengikut Akta Pengangkatan 1952 tetapi permohonan kewarganegaraan untuk anak angkat ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tanpa sebarang alasan.


"Pelbagai kesan sosial yang terpaksa dihadapi oleh ibu bapa dan anak angkat mereka ialah apabila permohonan kewarganegaraan ditolak.


"Ibu bapa ini jadi stress dan mengalami tekanan emosi yang sangat berat. Mereka tidak dapat membuat rancangan jangka pendek atau jangka panjang dalam penjagaan anak angkat mereka," kata Hannah dalam satu kenyataan.


Selain itu, kata Ahli Parlimen Segambut itu, tanpa kewarganegaraan anak angkat tersebut tidak akan mempunyai akses kepada pendidikan di sekolah Kerajaan; tidak mempunyai akses kepada Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kerajaan dan menyebabkan mereka terpaksa ke klinik swasta dengan kos sangat mahal; terpaksa membayar fee pelancong asing untuk memasuki zoo, akuarium atau taman burung; tidak boleh membuka akaun bank; tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti mewakili Malaysia seperti sukan, acara riadah dan kebudayaan juga anak angkat berkenaan tidak boleh memiliki polisi insurans sendiri serta pelbagai halangan lain.


"Kegagalan paling besar Kerajaan dalam menangani isu ini ialah memahami bahawa pemberian kewarganegaraan kepada anak angkat yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah sebenarnya merupakan satu langkah yang hanya akan memanfaatkan kerajaan dan bukan merugikan mereka.


"Sekaligus mengurangkan beban kewangan Kerajaan seperti pengurusan institusi kanak-kanak milik mereka," katanya.


Pengambilan anak angkat juga, kata Hannah, akan membantu ibu bapa warganegara Malaysia yang mahukan anak angkat secara sah tetapi terpaksa menunggu giliran yang lama serta mengurangkan kes pembuangan bayi.


"Saya menggesa Kerajaan supaya segera memberikan kewarganegaraan kepada anak angkat yang telah mendapat perintah pengangkatan daripada mahkamah.


"Kerajaan wajar berterima kasih kepada ibu bapa yang mengambil anak angkat untuk merealisasikan agenda Keluarga Malaysia.


"Sebarang keputusan Kerajaan yang membelakangkan slogannya sendiri hanya membuktikan Kerajaan BN - PN ini merupakan sebuah kerajaan hipokrit dan cakap tak serupa bikin," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page