Dihalau di masjid, Farzana pilih memaafkan


Insiden dihalau dan ditengking ketika menghadiri program Kampung Angkat MADANI di Masjid Al-Faizin, Bukit Rambai yang tular pada 18 Oktober lalu, akhirnya menemui titik penyelesaian apabila calon HARAPAN bagi DUN Klebang, Farzana Hayani (gambar) memilih untuk memaafkan wanita terbabit.
Farzana berkata, beliau sudah bertemu semula dengan wanita yang didakwa menghalaunya daripada kawasan masjid itu dan bersyukur apabila perselisihan berkenaan berjaya diselesaikan dengan baik.
Katanya, beliau tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan dan menganggap insiden yang menyaksikannya dihalau, dihina serta ditengking di hadapan orang ramai itu sebagai sebahagian daripada pengalaman dalam perjalanan politiknya.
"Baru-baru ini saya turun di Masjid Al-Faizin Bukit Rambai, kampung saya. Saya dihalau, saya dihina dan ditengking di khalayak orang ramai.
"Tapi tak apalah, kita lupakan perkara itu. Kita anggaplah itu sebagai salah satu pengalaman kita berpolitik. Kita maafkan dia," katanya ketika berucap pada program ceramah kelompok di DM Kampung Bukit Rambai, kelmarin.
Farzana turut berharap insiden yang sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial itu tidak lagi diperbesarkan atau dijadikan bahan perdebatan selepas ini.
"Saya telah bertemu semula dengan puan tersebut dan alhamdulillah, segalanya selesai. Saya harap isu itu tidak dimainkan lagi selepas ini di media sosial dan di mana-mana," katanya.
Terdahulu, pada 18 Oktober lalu, Farzana dilaporkan meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas diminta meninggalkan kawasan Masjid Al-Faizin ketika menghadiri program Kampung Angkat MADANI di Bukit Rambai.
Beliau ketika itu menjelaskan kehadirannya sebagai anak jati Bukit Rambai dan menegaskan tidak membawa bahan kempen, selain bersetuju bahawa masjid bukan tempat untuk berkempen politik.




Comments