Dialog Malaysia-Indonesia diadakan semula, isu Ambalat antara dibincangkan
- Suara Keadilan

- Jul 3
- 1 min read

Malaysia dan Indonesia bakal menyambung semula perbincangan tahunan antara kedua-dua negara yang terakhir diadakan pada 2017.
Jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dicapai melalui pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Jakarta baru-baru ini.
"Perbincangan dengan Presiden Indonesia diadakan dalam suasana positif, dan kita bersetuju memulakan semula dialog tahunan antara pemimpin kedua negara," katanya dipetik.
Beliau sementara itu memaklumkan, perdana menteri akan mengetuai delegasi ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri sesi konsultasi tahunan serta acara berkaitan Sekretariat ASEAN.
Antara isu utama yang akan dibincangkan termasuk pertikaian sempadan maritim di Ambalat, yang sudah berlarutan lebih dua dekad.
"Perbincangan Julai ini hanyalah permulaan, bukan penyelesaian muktamad. Banyak aspek teknikal perlu dipertimbangkan, tetapi kita komited mencari penyelesaian win-win," jelasnya.
Isu pertikaian wilayah Ambalat antara Malaysia dan Indonesia telah berlarutan sejak sekian lama.
Beberapa siri rundingan untuk mencari jalan penyelesaian bagi kawasan bertindih di perairan Laut Sulawesi itu menemui kegagalan.
Jumaat lalu, media melaporkan Anwar dan Prabowo menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.









Comments