Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme penting pada era globalisasi
- Suara Keadilan

- Jun 19
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Program Dialog Kepimpinan Islam dan Konfusianisme anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Persatuan Konfusian Antarabangsa (ICA) telah berlangsung dengan jayanya kelmarin dalam usaha memperkukuh persefahaman antara dua peradaban agung dunia.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan turut dihadiri Presiden ICA, Sun Chunlan serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing itu amat baik bagi meningkatkan kefahaman silang budaya China dan Malaysia pada era globalisasi.
Katanya, hal itu sangat penting ketika dunia memasuki fasa persaingan kuasa dan ekonomi yang kompleks.
"Program ini signifikan dalam membina jambatan persefahaman antara dua peradaban agung dunia.
Hal ini penting dalam usaha mencapai keharmonian serantau dan global, terutama dalam dunia yang semakin kompleks," katanya dalam muat naik di Facebook.
Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam dialog berkenaan mengingatkan bahawa program itu bukan sekadar wacana ilmiah sebaliknya menjadi platform memperkukuhkan solidariti antara tamadun, menolak sikap sinis serta mengelakkan berlakunya konflik.
''Hari ini, kita hidup dalam apa yang digelar para sarjana sebagai dunia pasca-normal, di mana kekeliruan sering mengatasi kejelasan.
''Kemajuan teknologi telah mengubah secara ketara interaksi manusia, hubungan sosial dan komunikasi baik dari segi positif mahupun negatif.
"Kita mengingati bahawa Laksamana Zheng He dan Ibnu Battuta merentasi lautan bukan untuk menakluk, tetapi untuk menghubungkan.
''Ibn Khaldun dan Zhu Xi berusaha bukan untuk mendominasi, tetapi untuk memahami. Al-Ghazali dan Confucius percaya pada penguasaan diri, bukan keunggulan,'' katanya pada program yang diadakan di kampus UIAM itu.









Comments