Di tengah ketidaktentuan, Malaysia berdiri berpaksikan asas ekonomi kukuh
- Suara Keadilan

- May 14
- 2 min read

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di ibu negara Rusia, Moscow di tengah tengah ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menurut PM, sejurus tiba di lapangan terbang Moscow beliau segera menghadiri majlis dialog bersama pelajar-pelajar Malaysia di Rusia.
Katanya, dalam wacana itu beliau menyatakan beberapa cabaran geopolitik, termasuk pelaksanaan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS) yang beliau yakin boleh ditangani dengan baik berpandukan asas eonomi negara yang kukuh.
"Meskipun dunia berdepan ketidaktentuan, saya tegaskan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus berdiri teguh berpaksikan asas ekonomi yang kukuh, serta semangat kebersamaan rakyat dari kalangan pimpinan, penjawat awam, penggerak masyarakat mahupun sektor swasta.
"Kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka, tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan. Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama," katanya daam muat naik di Facebook.
Anwar juga mengulangi seruannya agar pemimpin negara perlu menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri atau keluarga. Sebaliknya tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat untuk merangka dasar pro rakyat dan perniagaan bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang lebih maju daripada sebelumnya.
"Anak-anak Malaysia di luar negara pula memikul amanah besar. Pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARM hanya akan membuahkan hasil jika kita berjaya menyediakan bakat dan tenaga mahir yang mencukupi. Ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara.
"Saya juga mendengar sendiri kegusaran anak-anak pelajar dari isu peluang pekerjaan di tanah air, hinggalah kepada cabaran melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dari luar negara.
"Saya tegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperluas peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkenalkan sistem undi dalam talian bagi memastikan hak rakyat tidak dinafikan oleh kekangan teknikal," katanya lagi.
Sebelum menamatkan wacana itu, PM Anwar berpesan khusus agar palajar Malaysia terus berusaha meneroka bidang-bidang baharu yang diperlukan negara namun perlu pastikan diri terus mengakar ke bumi, yakni berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan sebagai anak Malaysia.









Comments