
Debat perdana yang dinanti nantikan antara Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan pada 12 Mei ini hanya tinggal lagi seminggu.
Namun lokasi debat yang ditunggu para penyokong kedua belah pihak sejak sedekad lalu itu gagal dilangsungkan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM) yang menjadi pilihan awal kerana pihak universiti tidak bersetuju dewannya digunakan untuk acara debat.
Dalam catatan ringkasnya di Facebook, Datuk Seri Anwar masih menunggu lokasi baharu penganjuran debat berkenaan selepas beliau sebelum ini mengesahkan bersedia berdebat di mana sahaja dan pada bila bila masa.
"Menantikan lokasi baru yang bakal ditetapkan untuk debat eksklusif bersama Najib Razak," kata Anwar dalam muatnaik terbaharu.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil yang dilantik sebagai wakil Datuk Seri Anwar bagi acara debat tersebut membayangkan keputusan bersama wakil Najib akan diperolehi dalam masa yang terdekat dalam menetapkan lokasi seterusnya.
"Cuma kita tunggu keputusan bersama,” kata beliau dipetik Astro Awani.
Difahamkan dua lokasi kini menjadi pertimbangan penganjur iaitu Dewan Sivik MBPJ dan Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).