Dewan Rakyat luluskan RUU Perbekalan 2026
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 diluluskan di Dewan Rakyat hari ini selepas mendapat sokongan majoriti melalui undian suara, menandakan satu lagi langkah penting dalam proses pembentangan Belanjawan 2026.
Kelulusan itu dibuat selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menamatkan sesi penggulungan kementeriannya, menutup 15 hari perbahasan yang bermula 5 November lalu.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (gambar), kemudian melaksanakan undian suara sebelum mengumumkan RUU berkenaan diterima dengan majoriti jelas.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, membentangkan bacaan ketiga RUU berkenaan, yang turut diluluskan tanpa halangan. Ia kini dibawa ke Dewan Negara sebelum dikemukakan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Pada peringkat dasar sebelum ini, RUU Perbekalan 2026 diluluskan melalui undian blok pada 4 November dengan 120 undi menyokong, 67 menolak, manakala 35 Ahli Parlimen tidak hadir.
Pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memperuntukkan RM419.2 bilion, iaitu RM1.8 bilion lebih rendah berbanding belanjawan sebelumnya.
Pengurangan itu dibuat susulan tekanan harga minyak global, dengan kerajaan memberi tumpuan kepada sektor kesihatan (RM46.5 bilion) dan pendidikan (RM66.2 bilion). Bantuan untuk pelajar, guru serta petugas kesihatan turut diperkukuh.
Belanjawan 2026 juga merupakan belanjawan pertama yang diselaraskan dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Dalam pembentangannya, Anwar menjelaskan bahawa perbelanjaan tambahan menerusi GLIC, badan berkanun dan pelaburan awam-swasta akan menyediakan RM50.8 bilion lagi bagi menyokong inisiatif pembangunan.









Comments