top of page

Dewan Rakyat bersolidariti bersama misi Global Sumud Flotilla 2.0

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 7 days ago
  • 1 min read

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (gambar) mengecam keras serangan Israel ke atas Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 baru-baru ini.


Beliau berkata, intervensi bersenjata terhadap aktivis misi itu disifatkan sebagai amat membimbangkan, dan merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa yang tidak boleh diterima sama sekali.


"Tindakan rejim itu bukan sahaja menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza, malah turut menyebabkan penahanan 175 aktivis pro-Palestin yang terlibat dalam misi berkenaan.


"Penggunaan kekerasan yang berterusan terhadap inisiatif kemanusiaan yang tidak bersenjata hanya memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sedia buruk serta menjejaskan usaha global ke arah keamanan dan kestabilan," katanya dalam kenyataan.


Johari sementara itu menegaskan, Dewan Rakyat memandang serius insiden tersebut dan kekal komited terhadap prinsip keadilan, maruah kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.


"Malaysia komited terus memperjuangkan keadilan dan keamanan yang berkekalan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta hak asasi rakyat Palestin.


"Dewan Rakyat turut solidariti bersama masyarakat antarabangsa dalam menyokong mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan itu," tambahnya.


Menerusi kenyataan sama, Johari menyeru ketua-ketua parlimen di seluruh dunia, badan antara parlimen serta organisasi antarabangsa mengambil pendirian yang berprinsip dan bersatu menentang keganasan yang berterusan.


Usaha menamatkan keganasan terhadap rakyat Palestin sangat penting digerakan, selain memastikan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan ke Gaza diwujudkan selain memastikan pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa dipertanggungjawabkan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page