Dewan Negara luluskan Belanjawan 2026
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 1 min read

Sidang Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 selepas memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Negara.
RUU berkenaan diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) setelah dibahasakan selama tujuh hari.
Amir Hamzah dalam ucapan penggulungannya menegaskan, Belanjawan 2026 dirangka bagi mengekalkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan keperluan sosial, sejajar aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan.
Belanjawan itu jelasnya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dengan matlamat meningkatkan taraf dan kesejahteraan hidup, memperkukuh daya saing ekonomi negara serta memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan.
Belanjawan 2026 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat Oktober lalu merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama dilaksanakan di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’, ia memperuntukkan perbelanjaan awam sebanyak RM470 bilion, merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan turut melibatkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan berjumlah RM30 bilion, kerjasama awam-swasta sebanyak RM10 bilion, serta peruntukan RM10.8 bilion melalui badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.





