Baju Melayu: Patut Diangkat Pakaian Setiap Jumaat, Identiti Kebangsaan
- Suara Keadilan

- 54 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Dr Bam Al-Haj
ULASAN: Kalau kita perhatikan hari ini Baju Melayu semakin terhad penggunaannya. Ia seolah-olah hanya “hidup” pada pagi raya, majlis akad nikah, istiadat rasmi atau acara tertentu sahaja.
Selepas itu, ia kembali tersimpan di dalam almari bersama sampin dan songkok yang hanya keluar setahun sekali.
Lebih membimbangkan, untuk mencari Baju Melayu tradisional yang benar-benar asli pun semakin sukar. Di pasaran hari ini, lambakan baju kurta jauh lebih banyak.
Ada pula trend “slim fit” yang mengubah potongan asal Baju Melayu sehingga hilang identiti tradisionalnya.
Baju Melayu berpesak yang suatu ketika dahulu menjadi simbol kehalusan seni pakaian Melayu kini makin pupus dan dianggap “lama”.
Baju Melayu terpinggir di tanah air sendiri
Persoalannya, mengapa pakaian yang begitu dekat dengan sejarah dan identiti negara semakin terpinggir di tanah air sendiri?
Hakikatnya, Baju Melayu bukan sekadar pakaian orang Melayu. Ia adalah warisan budaya Nusantara yang telah menjadi sebahagian daripada wajah Malaysia sejak sekian lama.

Sama seperti kimono di Jepun, hanbok di Korea atau thobe di negara Arab, Baju Melayu mempunyai nilai simbolik yang besar terhadap jati diri bangsa dan negara.
Malaysia sering bercakap tentang identiti nasional. Kita mahu ada “Malaysia style”, mahu budaya sendiri dihormati dan dikenali dunia. Tetapi identiti tidak akan lahir jika masyarakat sendiri malu atau jarang mengamalkan budaya sendiri dalam kehidupan harian.
Sebab itu usaha membudayakan semula Baju Melayu perlu dilakukan secara serius dan konsisten.
Kita boleh lihat contoh yang baik ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang kerap mengenakan Baju Melayu terutama pada hari Jumaat dan majlis rasmi tertentu.
Beliau nampak sederhana, kemas, segak, sopan dan sangat mencerminkan identiti Malaysia. Bahkan apabila pemimpin tertinggi negara memakai pakaian tradisi dengan bangga, ia memberi mesej bahawa budaya tempatan tidak pernah ketinggalan zaman.
Budaya nasional, Baju Melayu setiap Jumaat
Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan satu budaya nasional baharu — menggalakkan pemakaian Baju Melayu pada setiap hari Jumaat bagi kakitangan awam, syarikat GLC dan GLIC, sebagaimana budaya memakai batik pada hari Khamis.
Cadangan ini bukan sesuatu yang ekstrem atau memaksa. Ia hanya satu usaha membina semula kebanggaan terhadap identiti tempatan.
Jika batik boleh dijadikan budaya mingguan, mengapa tidak Baju Melayu?
Bayangkan jika setiap hari Jumaat, pejabat-pejabat kerajaan, bank, syarikat berkaitan kerajaan dan institusi awam dipenuhi pekerja memakai Baju Melayu lengkap yang kemas dan elegan. Tentu meriah.
Sudah tentu suasana itu akan memberi karakter tersendiri kepada Malaysia. Pelancong asing juga akan melihat bahawa negara ini benar-benar mempunyai identiti budaya yang hidup, bukan sekadar dipamerkan dalam muzium atau sambutan rasmi.
Lebih penting, langkah ini mampu menghidupkan semula industri jahitan tempatan dan tukang-tukang tradisional.
Permintaan terhadap Baju Melayu klasik, termasuk potongan berpesak dan teluk belanga asli, pasti meningkat semula.
Anak-anak muda juga akan mula mengenali perbezaan antara Baju Melayu tradisional dengan fesyen moden yang terlalu banyak diubah suai.
Eksport kebudayaan
Dalam dunia hari ini, negara yang kuat ialah negara yang yakin dengan budayanya sendiri.
Korea Selatan berjaya mengeksport budaya mereka ke seluruh dunia kerana mereka bangga dengan identiti sendiri.
Jepun mempertahankan budaya tradisional mereka walaupun sangat moden. Malaysia juga perlu mempunyai keyakinan yang sama.
Baju Melayu tidak sepatutnya menjadi pakaian bermusim.
Ia patut diangkat sebagai simbol identiti kebangsaan — lambang kesopanan, warisan, kematangan budaya dan jati diri Malaysia.
Saya dan sahabat baik saya Tuan Khairul Imran Che Mat kini hari-hari pakai baju Melayu. Tukar-tukar warna setiap hari.
Kalau bukan kita yang menghidupkannya semula, siapa lagi?
Dr Bam Al-Haj merupakan penulis bebas dan ahli NeuroMarketing Strategist.




Comments