Afdlin Shauki ambil tindakan undang undang atas tohmahan Chegubard
- Akmal Manaf
- 23 minutes ago
- 2 min read

Pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki (gambar) memulakan tindakan undang-undang terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhubung dakwaan fitnah yang mengaitkannya dengan rasuah dan salah laku ketika memegang jawatan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut firma guaman Thomas Philip Advocates & Solicitors yang mewakili Afdlin yang juga Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa, surat tuntutan telah diserahkan secara rasmi kepada Chegubard semalam berhubung beberapa kenyataan yang didakwa palsu, mengelirukan dan memfitnah terhadap anak guam mereka.
"Penyataan-penyataan tersebut telah dibuat dalam sebuah video yang diterbitkan di saluran YouTube ‘Agenda Daily’ dan kemudiannya diterbitkan semula oleh Syed Rosli Harman di TikTok dan Facebook.
"Video tersebut masih boleh diakses oleh orang awam. Penyataan-penyataan tersebut, dalam maksud zahir dan biasa serta secara sindiran, memfitnah anak guam kami dengan menuduh beliau melakukan perbuatan rasuah dan tidak jujur berhubung jawatannya di DBKL dan merupakan satu fitnah bertulis yang amat serius," kata Thomas Philip Advocates & Solicitors menerusi satu kenyataan.
Menurut firma guaman itu lagi, Afdlin yang juga Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut dan menegaskan ia dibuat tanpa sebarang asas serta diterbitkan tanpa memberinya peluang untuk memberikan maklum balas sebelum disebarkan kepada umum.
"Badrul telah secara rasmi dituntut untuk, dalam tempoh tujuh hari dari tarikh Surat Tuntutan serta-merta memadamkan video tersebut beserta semua salinannya daripada semua platform di bawah kawalannya, mengeluarkan permohonan maaf dan penarikan balik secara terbuka, penuh dan tanpa syarat kepada anak guam kami, yang diterbitkan secara menonjol di akaun-akaun media sosial beliau.
"Selain itu, Badrul juga dituntut memberikan akujanji bertulis untuk menahan diri daripada menerbitkan sebarang penyataan lanjut yang mempunyai kesan yang serupa terhadap anak guam kami.
"Kegagalan mematuhi tuntutan-tuntutan di atas dalam tempoh yang ditetapkan akan mengakibatkan prosiding undang-undang dimulakan tanpa sebarang rujukan lanjut, dan Badrul akan bertanggungjawab ke atas semua kos yang ditanggung," katanya lagi.
