DAP tolak Perlembagaan: Bagaimana ROS boleh benarkan pendaftaran?
- Akmal Manaf

- 2 minutes ago
- 1 min read

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (gambar) daripada DAP tampil menyelar tuduhan seorang warganet yang antaranya mendakwa perlembagaan parti itu menolak Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berhujah, di bawah Akta Pertubuhan 1966, mana-mana parti yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) wajib patuh dan tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Jadi DAP ini adalah parti yang sah, DAP tak melanggar mana-mana undang-undang. Seterusnya, puan rajinlah sikit buka buku dan laman sesawang parti DAP dan baca matlamat parti Fasal 2.
"Jelas ditulis di situ mengiktiraf dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara termasuk memelihara kedudukan yang di-Pertuan Agong, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Perkara 153 serta Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perkara 3," katanya yang menasihatkan pempengaruh atau sesiapa yang mahu memberi komentar agar meneliti dahulu perkara yang mahu mereka ulas.
Tegas beliau, sejak berdekad lalu pemimpin DAP sering menekankan soal taat kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang undang negara sebagai keutamaan, namun pihak yang enggan menerimanya terus membuat tohmahan.
"Sebenarnya ramai pemimpin DAP sering mengulangi bahawa kita daripada parti DAP sentiasa dan memang mengiktiraf, menghormati Perlembagaan Persekutuan.
"Banyak kali (perkara itu) diulang sama ada di ceramah dan di mana-mana, tapi ada pihak yang saja buat tak nak faham," katanya dalam satu siaran video.




Comments