Mesyuarat Khas Dewan Negara pada Selasa meluluskan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dengan lebih suara bersetuju.
Usul tersebut diluluskan selepas persidangan Dewan Negara dijalankan bermula pada 20 September sehingga semalam.
"Terima kasih kepada 44 Ahli Dewan Negara yang mengambil bahagian di dalam perbahasan dan memberi maklum balas kepada 26 kementerian yang juga selesai menjawab serta membuat penggulungan sepanjang dua hari ini," kata Yang Dipertua Dewan Negara,Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dipetik selepas mengumumkan keputusan meluluskan usul tersebut.
Usul KSP RMK12 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Sept di Dewan Rakyat, bermatlamatkan 'Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi'.
KSP RMK12 yang mengandungi 17 anjakan besar sebagai pemangkin utama melalui 71 strategi dan inisiatif utama, merupakan jaminan teguh kerajaan dalam memenuhi tuntutan reformasi yang diharapkan rakyat.
Ia disediakan bagi mengukur pencapaian sepanjang dua tahun pertama pada 2021-2022.
Selain itu, ia akan mengetahui hala tuju bagi tahun 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.
Pada 19 September lalu, usul KSP RMK12 diluluskan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dengan suara majoriti.
Comments