Desakan batal jemput Trump ke Sidang ASEAN politik tidak matang, emosional
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Desakan Pemuda UMNO Malaysia dan pembangkang agar kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 jika aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) tidak dibebaskan, disifatkan sebagai tindakan tidak berstrategi, bersifat emosional dan berisiko menjejaskan kepentingan diplomatik serta perpaduan serantau.
Pandangan itu dikemukakan oleh Pengerusi Biro Perpaduan Nasional KEADILAN Selangor, David Cheong Kian Young, yang berpendapat kepimpinan parti-parti berkenaan seharusnya lebih rasional dan memahami bahawa Sidang Kemuncak ASEAN merupakan platform diplomatik tertinggi di rantau ini.
Beliau berkata, kehadiran Trump memberikan peluang bersemuka secara rasmi dan berprofil tinggi kepada pemimpin-pemimpin ASEAN termasuk Malaysia untuk menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan aktivis GSF, mendesak pembebasan dengan hujah diplomatik yang kuat sekali gus menunjukkan solidariti ASEAN terhadap isu kemanusiaan seperti Gaza.
''Membatalkan jemputan akan menghapuskan peluang ini dan menyebabkan mesej ASEAN kepada AS hanya menjadi jeritan daripada luar, bukan dialog daripada dalam.

''Jelas terpapar bahawa kepimpinan pembangkang dan Pemuda UMNO Malaysia gagal mengedepankan faktor-faktor berikut yang mendorong kepada tindakan 'semborono' itu seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN perlu bertindak matang dan strategik.
''Tindakan membatalkan jemputan kepada Trump akan dilihat sebagai keputusan unilateral dan membelakangi konsensus ASEAN.
''Ia akan menjejaskan kredibiliti Malaysia sebagai pemimpin serantau yang matang dan mampu mengurus tekanan geopolitik secara diplomatik,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faktor lain kata David Cheong lagi, sebagai Pengerusi ASEAN, PM Anwar sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk memanfaatkan dialog bersemuka dengan Trump bagi membincangkan isu-isu kemanusiaan, termasuk penahanan aktivis GSF secara lebih berkesan.
Ujarnya, kepimpinan ASEAN bergantung kepada perpaduan serantau dan bukan tindakan bersifat solo, malah jika Malaysia bertindak memboikot atau membatalkan jemputan secara bersendirian, ia akan memberi isyarat perpecahan serta mencerminkan kelemahan dalam solidariti ASEAN memandangkan terdapat tiga negara pertubuhan serantau itu merupakan sekutu rapat AS seperti Singapura, Thailand dan Filipina.
''Ini akan menjejaskan keupayaan ASEAN sebagai satu blok serantau yang bersatu dalam menyuarakan isu global termasuk Palestin.
''Kesimpulannya, sebagai negara yang mempengerusikan ASEAN, Malaysia di bawah kepimpinan PM Anwar seharusnya bertindak secara diplomatik, berstrategi dan berwibawa.
''Tindakan Pemuda UMNO menyertai pembangkang mendesak pembatalan jemputan itu adalah satu tindakan yang melemahkan peluang diplomatik sebenar, mencerminkan kekeliruan antara emosi dan strategi serta berpotensi menggugat perpaduan ASEAN dan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin serantau,'' kata David yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang.
Comments